Wednesday, November 4, 2015

Sesat

Telah lama kau sendirian,
Aku ingin membawamu mengembara,
Aku mahu membawamu menaiki keretapi gilaku,
Meninggalkan platform kisah silam,
Melupakan landasan dan nama-nama pengembara,
Pakailah baju sejuk yang kubelikan ketika memasuki sempadan Zurich,
Hujan yang turun membasahi baju sejukmu lalu menumbuhkan pokok ganja,
Selepas pemergianmu, hujan turun lagi lalu membasahi baju sejukku tetapi menumbuhkan pohon zaqqum yang membakar halkum,
Setiap kali kita mengembara
Kau sering memintaku belikan kepadamu minyak wangi,
Kau bagai anak-anak yang sering menanti kepulangan ibu,
Kubawa padamu minyak wangi,
Wangiannya berkocak kegembiraan,
Bayangkan,
Minyak wangi pun gembira dapat mendampingimu,
Minyak wangi pun benci untuk berjauhan denganmu,
Pernahkah kau berfikir,
Ke mana aku ingin membawamu,
Feri tahu pelabuhannya,
Ikan tahu lubuknya,
Sekawan burung layang-layang tahu kutubnya,
Kecuali kita,
Yang tiada penghujungnya,
Kita menyelam dalam air tetapi tidak lemas,
Kita mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat,
Kita tinggal di lapangan terbang tanpa berangkat,
Kau dan aku menjadi pengembara yang paling gila sepanjang hayat.

Terima Kasih

Ahad 4 Oktober 2015

Terima kasih atas Whatsappmu malam tadi,
Terima kasih atas gambar selfime padaku,
Kurakam gambar itu dalam hatiku,
Tidak ada apa yang lebih menyelerakan daripada memandang pipimu,
Alis matamu,
Senyumanmu yang menyingkap gigimu yang bertindan seumpama koala yang memanjat belakang ibunya,
Hatiku menjadi liar ketika membaca mesejmu,
Menjadi seperti lembu laga di Stadium Valencia,
Yang menerkam matador tanpa belas kasihan,
Akhirnya aku yang mati diranduk tanduk cintamu.

Soal Hati

Ketika memandang wajahmu,
Beribu-ribu kata berterbangan dalam hatiku,
Ini soal hati,
Bukan soal akal fikiran,
Fikiranku sudah tertutup ketika menatap wajahmu,
Gambar selfie yang kaukirimkan,
Begaikan Tembok Besar China menghalang Moghul,
Tapi tidak mampu menghalang jerubu,
Dari Sumatera dan Kalimantan,
Nafasku perlahan,
Tekakku sakit,
Molekul-molekul asap menerpa masuk ke rongga hidung, telinga, mata dan liang roma bersama-sama denyutan cintamu,
Tingkatkan Indeks Cintamu,
Supaya indeks cinta dan rinduku turut bertambah,
Supaya aku segera mati dan segera hidup semula,
Supaya aku terus lemas dan bernafas semula,
Kiranya kaupinta agar kutunggu kedatanganmu,
Akan kutunggumu di pelupok mataku,
Wahai wanita yang paling cantik dalam kalangan wanita dunia!
Datang dan pergilah,
Kau amat jelita ketika kau datang,
Kau juga amat jelita ketika kau berangkat pergi,
Bagai mambang turun mandi,
Di syurga idaman.

Gelombang

Status-statusku yang memenuhi dinding Facebook ini,
Akan menjadi sejarah sebelum dan selepas kematianku,
Akan dibaca oleh rakan-rakanku,
Moga mereka mengerti kegilaanku dan kejelitaanmu,
Status-statusku diprint screen,
Disebar,
Diviral,
Dilike,
Dikomen,
Bahkan diketawa dan dikecam,
Kau boleh membacanya kiranya kau mahu,
Kau boleh nyah rakan diriku kiranya kau mahu,
Kiranya kau bosan dengan kataku,
Sekatlah Whatsappku,
Aku tahu tulisan ini amat mengganggumu,
Aku menulis pun bukan untuk kau tenang,
Aku mahu hatimu turut bergelombang,
Supaya kau datang,
Supaya kita mati bersama-sama malam ini.

Kembara

Aku memaut tanganmu seperti Alonso yang mencekak kemas stereng keretanya,
Kubawamu ke setiap kaki lima gedung perniagaan,
Berjalan dan berehat di Pavillion, Berjaya Times Square, One Utama dan Aman Sentral walaupun kau lebih selesa menikmati karipap di kedai catuk di simpang tiga,
Ingin kubawamu ke Paris, Milan dan La Paz tetapi aku tidak memiliki pasport,
Aku tidak mempunyai gambar untuk kubuat pasport pun,
Semenjak aku berumur tiga tahun,
Aku tidak suka bergambar,
Kerana setiap hari wajahku berubah,
Setiap hari warna mataku bertukar,
Aku tidak suka duduk di kerusi jurufoto,
Aku tidak suka bergambar kenang-kenangan,
Lihatlah wajah kanak-kanak di dunia ini,
Wajah mereka sama sahaja,
Anak-anak perang Syria sama seperti anak-anak kita yang gagal Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris dalam SPM,
Mereka umpama gigi sikat,
Aku celupkan pasportku dalam gelas,
Aku biarkan dakwatnya luntur meresap bersama-sama air kesedihan lalu kuminum,
Aku berazam untuk mengembara ke seluruh alam dengan basikal kebebasan,
Merentas sempadan tanpa visa dan pasport,
Apabila aku ditangkap, disoal oleh imigresen dan pengawal sempadan di mana alamatku,
Aku akan berkata bahawa aku tinggal di hatimu,
Dari mana asal usulku?
Aku akan memberitahu mereka bahawa aku berasal dari denyut nadimu,
Ke mana tujuanku?
Ke matamu.
Supaya mereka tahu bahawa mengembara ke dalam matamu adalah hak seluruh warga alam.

Alam Baharu

Cintamu membawaku ke dunia baharu,
Menerkamku dengan wangian nafasnya,
Dia datang kepadaku ketika aku duduk di café bersama puisiku,
Lalu kulupa apa yang telah kukarang,
Dia datang kepadaku ketika aku membelek urat di tapak tanganku,
Lalu kulupa tanganku,
Dia menerkamku seperti ayam jantan yang sangap,
Lalu bulunya bercantum dengan rambutku,
Kokokannya bersatu dengan seruanku ketika menyebut namamu,
Dia datang kepadaku pada hari Sabtu ini,
Ketika aku berdiri di sisi beg kembaraku,
Menunggu keretapi yang akan membawaku meninggalkan hari ini dan esok,
Lalu kulupa keretapi,
Aku lupa hari ini, esok dan lusa,
Dia memimpin tanganku,
Membawaku ke alam baharu.

Pusaka

Aku tidak mahu bermain  cinta,
Kita bukan lagi anak-anak kecil,
Aku tidak mahu menjadi seperti anak-anak membahagi ikan,
Ikan merah untuk aku,
Ikan biru untuk kamu,
Ambillah ikan merah dan ikan biru untuk kamu semuanya,
Asalkan kau kekal menjadi kekasihku,
Juga
tidak seperti PAS dan GHB,
Yang berebut penyokong umat Islam sendiri,
Hijau warna kami,
Oren warna kamu,
Sepohon limau ada hijaunya ada orennya,
Ambillah sepohon limau itu bahkan seladang limau untuk kamu semua,
Tetaplah kau menjadi kekasihku,
Ambillah laut, sampan dan para pengembara,
Asalkan kau tetap bersama-samaku,
Aku serahkan semua hartaku,
Aku tidak peduli soal untung atau rugi,
Aku tidak punya wang yang banyak dan juga telaga petrol yang menjadi kolam renang kekasihku,
Apatah lagi wang derma RM2.6 billion dalam akaun peribadi,
Aku hanya pujangga pemujamu,
Apa yang aku ada hanyalah kata cinta,
Yang memenuhi dinding rakan Facebooku,
Membuat mereka bimbang.

Pergilah Sekiranya Kaumahu

Teman-teman kehairanan dengan status aku,
Mereka bertanya di Whatsapp,
PM aku bahkan ada yang menelefonku ketika aku sedang tidur sambil menganyam bait kata dalam mimpiku,
Lalu butiran kataku terurai dan terburai,
Kubangun dari tidur dan kukutip semula butir-butir mimpi yang terlerai,
Wahai wanita yang menusuk sejarah hidupku seperti belati,
Mewangi seluruh hidupku bak kasturi kijang,
Lembut umpama bulu buah aprikot,
Suci seolah-olah kalungan bunga melur,
Kauberkata kau mahu pergi dari hidupku,
Kaumahu menyepi,
Pergilah ...
Keluarlah dari hidupku semahumu,
Keluarlah dari cadar katilku,
Keluarlah dari cawan kopi dan sudu yang mengocak gulanya,
Keluarlah daripada butang kotku,
Daripada # statusku,
Daripada @ emelku,
Daripada bulu berus gigiku,
Daripada buih sabunku,
Keluarlah daripada setiap benda seni dalam hidupku,
Supaya aku tenang untuk pergi ke pejabat.

Guru

Aku pernah menjadi guru,
Memang cita-citaku untuk menjadi guru semenjak kecil lagi,
Cita-cita dan profesion mulia,
Profesion Nabi dan Rasul,
Kutinggalkan kerjaya guru itu,
Demi mengejar kesenangan hidup,
Entah apa kesenangan yang aku dapat,
Selepas bertemu denganmu,
Aku ingin kembali menjadi guru,
Mengajar murid huruf A, I, C, N dan T,
Aku akan mengajar mereka untuk mengeja namamu,
Supaya mereka dapat meletakan 
#‎namamu setiap status mereka di Facebook dan kicauan mereka di Tweeter,
Supaya namamu terpampang di semua buku teks, buku nota, pensil, pembaris dan getah pemadam,
Namamu akan digunakan untuk melariskan permainan, bekas minuman, kasut bola dan juga bendera dan lencana sekolah,
Engkau akan kusembunyikan sebagai pembantu Khidir, Musa dan Harun,
Sebagai salah seorang hawariyyun Isa berganding dengan Magdalena menghiasi arca di biara,
Menjadi kerja kursus Kemahiran Hidup memahat namamu,
Akan kupastikan setiap sekolah meletak namamu sebagai mural sebelum visi dan misi sekolah,
Akan kutukar semua nama benua dan lautan kepada namamu,
Akan kumohon angin untuk membelai rambutmu,
Tetapi dia memohon maaf kerana kesuntukan masa,
Dia hanya punya waktu yang singkat,
Sedang rambutmu sepanjang namamu yang merentasi dari timur ke barat.

Kuasa Cinta

Aku bukan daripada keturunan raja,
Aku juga tidak mempunyai bakat sebagai pemimpin,
Aku tidak pernah bercadang pun untuk memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa parti di apa-apa peringkat sekalipun,
Jauh sekali menubuh parti baru selepas kalah dalam pemilihan,
Kesudianmu bersama-samaku membuat aku terasa bahawa aku adalah raja yang memerintah dunia ini,
Aku menguasai seluruh telaga minyak dunia,
Aku memiliki dan mengutip derma daripada sesiapa sahaja,
Aku menjadi pemimpin Melayu, Cina dan India,
Aku bukanlah raja,
Tetapi kesudianmu bersama-samaku menikmati sepinggan salad salomon membuatkan aku merasa seperti raja yang memerintah dunia ini,
Membuat aku merasa diriku lebih berkuasa daripada Barack Obama, Vladimir Putin dan Datin Seri Rosmah Binti Mansor.

Siasatan

Selepas aku berkata: Aku cinta padamu, aku dikunjungi oleh mata-mata gelap,
Mereka membawaku ke balai polis untuk menyiasatku,
Konon aku hendak menumbangkan kerajaan,
Aku membawa ajaran sesat yang bertentangan dengan mazhab rasmi negara,
Aku hendak dirikan sebuah negara yang hutannya lebih hijau dari segala daun yang ada,
Limau di negeriku lebih oren dari limau Sunkist yang diimport dari Australia,
Lautan dan sungainya lebih biru daripada lautan dan sungai yang sedang mengalir,
Kanak-kanak sekolah boleh membawa telefon pintar ke sekolah,
Aku ingin mengharamkan parti politik yang menyemai kebencian dan membawa perpecahan,
Aku ingin membahagikan derma kepada rakyat miskin,
Ketika aku berkata aku cinta kepadamu,
Aku ingin menjadi raja yang akan membina rumah kepada anak-anak kecil yang tidak berbapa dan beribu,
Membina sekolah khusus kepada murid-murid yang sukar membaca,
Lalu aku akan ajar kepada mereka kalimat cinta,
Aku kuberikan arak kepada si miskin yang tidak pernah merasai nikmat manisnya gula.

Anugerah

Pada suatu pagi dalam bulan Ogos 2015,
Kau datang menziarahi aku,
Ketika itu sesuatu berlaku di bumi ini,
Ahli astronomi berkata satu batu meteor telah gugur menghentam bumi,
Kanak-kanak meluru mendapatkannya kerana mereka menyangka meteor itu roti berinti madu,
Para wanita menyangka meteor itu permata yang boleh menjadi perhiasan jasadnya,
Golongan lelaki menyangka malam itu terjadi Lailatul Qadar,
Selepas kau duduk di depanku sambil menikmati secawan kopi panas dan sebungkus nasi lemak,
Baru aku sedar bahawa kanak-kanak itu tidak berbohong,
Para wanita itu bercakap benar,
Dan para suami mereka juga bercakap benar,
Manismu seperti madu,
Sinaranmu bak permata,
Kebaikanmu umpama Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Penyerahan

Aku ingin serahkan kepada kamu semua segala buku yang tersusun dalam perpustakaan di rumahku,
Aku ingin serahkan semua penaku,
Segala fail dalam cakera kerasku,
Juga yang terdapat dalam pen drive serta yang kumuat naik dalam stor awan di Google dan iCloud,
Ambillah fail-fail yang kumuat turun dan kusimpan dalam iBookku,
Kerana dia telah mengajarku perkataan baru,
Yang lebih bermakna daripada seribu buku,
Lebih bermakna daripada seribu kata yang terbit daripada seribu liter tinta.
Aku perlukan jari yang lain,
Untuk kutuliskan kata cintanya,
Aku perlukan mata yang lain untuk kubaca buku cintanya,
Aku perlu akal dan hati yang lain untuk kufaham bisikan cintanya,
Aku perlukan pena yang lain untuk kugambarkan cintanya,
Supaya kudapat melukis bajunya, anting-antingnya, alisnya,
Dengan butiran kata,
Yang kadang-kadang seperti hujan,
Atau molekul jerebu yang terbang dari seberang.

Ingin kuhadiahkan kepadanya sehelai baju yang kuanyam dengan kalimat cinta,
Yang belum pernah kuhadiahkan kepada sesiapa pun,
Ingin kuajarkannya bagaimana mengeja namaku,
Agar dia dapat memahat namaku di dinding hatinya.

Kamus Cinta

Aku berfikir untuk mencipta satu bahasa,
yang tidak difahami oleh orang lain selain daripada kita berdua,
akan aku isikan kamus bahasa itu,
dengan beribu-ribu kata,
mengandungi semua bunga,
mengandungi semua wangian,
termasuk wangianmu yang mengisi atmosfera,
ketika kaumelangkah keluar daripada kereta,
akan kukarang buku tatabahasa yang susunan ayatnya bukanlah kata kerja, subjek dan objek,
tetapi cinta, pencinta dan dicinta,
wacana bahasa kita adalah lautan,
berisi darah kekecewaan,
jarak antara darat dan kepulauan,
seperti jarak kau dan aku,
yang tidak mungkin bersama.
Akan kuhapus dalam kamus itu,
kata yang menjadi musuh cinta,
Dengki - Tamak - Permusuhan - Pengeboman - Perang - Pelarian,
Kecuali pelarian cinta seperti aku,
yang mencari suaka cinta di hatimu.

Kekasih Baru

Kekasih Baruku
Semalam,
Aku ucapkan selamat tinggal padamu,
Sebelum aku melangkah pergi, aku tuliskan pada kelopak matamu seribu perkataan,
Kata tanpa makna,
Aku tulis ...
Siapa dirimu?
Siapa yang meletakkanmu di persimpangan hidupku?
Siapa pula yang menyiram air di perdu hidupku supaya kau terus subur?
Sebelum kauhadir,
Hatiku umpama tanah perkuburan,
Bagai gereja yang ditinggalkan,
Hanya laungan loceng yang membingitkan telinga.

Setelah kau tiba,
Aku kehilangan sejarah hidupku yang lalu,
Dan kau juga,
Datang tanpa sejarah tanpa tujuan,
Cintaku adalah api yang mula membara dan membakar,
Mengapa kau menyingkap jendela mengundang api cinta itu,
Aku ingin berpesan dan menjagamu agar tidak terbakar bersama-samaku,
Janganlah kau tersesat bersama-samaku,
Dalam dunia yang indah dan beracun.

Pesanan Buat Si Kecil

Si kecilku,
Aku sedar kaubimbang untuk menunggang kuda gila bersamaku,
Takut dikecam, ditohmah, dilabel sebagai Jebon, Pengkhianat, Pemecahbelah keluarga dan umat,
Si kecilku,
Sekiranya mereka bertanya siapa diriku suatu hari nanti,
Usahlah kau berfikir panjang,
Take it easy,
Katakan sahaja kepada mereka: Aku juga mencintainya. Aku amat menyintainya.
Si kecilku!
Sekiranya mereka menyalahkanmu yang memilih diriku untuk kau luahkan cintamu,
Kenapa kau memotong rambutmu yang seakan sutera itu,
Kenapa kau memecahkan botol perfume selepas kaubeli dan miliki,
Kenapa cintamu seperti musim sejuk,
Gelap, dingin dan beku,
Katakan kepada mereka: Aku memotong rambutku kerana dia suka rambutku pendek.
Si kecilku!
Ketika kita menari,
Selepas meneguk segelas Champagne berperisa Ketum,
Orang pasti menyangka bahawa seekor rama-rama hinggap di bahuku,
Menarilah dengan perlahan sambil mengepak sayapmu,
Ucaplah "Aku cinta padamu",
Hembuslah dengan perlahan sambil nafasmu yang panas membakar cuping telingaku.

Masalahku Adalah Masalahku

Sia-sialah tulisanku ini,
Gagal menggambarkan perasaan yang melebihi kata,
Gelombang yang berhempas-pulas memujuk hati semakin ganas,
Suaraku terhenti di kerongkong,
Sia-sialah tulisanku ini,
Kata-kataku lebih luas dari bibirku,
Aku benci melihat semula coretan di dinding Facebookku ini,
Masalahku adalah masalahku,
Masalahku adalah kau tidak pernah mengungkap tindak balas,
Apatah lagi meninggalkan Like dan Komen pada setiap statusku,
Justeru, sukar kumeneka perasaanmu,
Kau adalah masalahku,
Kerana cintamu sukar digambarkan dengan dua tiga ayat,
Lalu aku membuat keputusan untuk berdiam diri.
Wassalam.

Siapa

Siapakah dirimu?
Aku tidak pernah tahu siapa dirimu,
Kita bahkan tidak pernah bersua ketika kecil kita,
Adakah kau patung mainanku ketika kecil,
Yang pernah kucabut lehernya,
Aku tidak pasti,
Kau ada di mana-mana kini,
Dalam iPhoneku,
Dalam iPadku,
Bahkan bagaimana kau masuk ke dalam power bankku?
Di stereng kereta ketika aku hendak ke pejabat,
Dalam begku ketika aku keluar pejabat,
Di halaman pasportku,
Di celah senyuman pramugari Mas berkain belah,
Di lencana pramugari AirAsia berskirt singkat,
Dalam awan yang menyelimuti pesawat,
Dalam cawan Long Bean di Starbuck, Black Wood dan Old Town Café,
Di pintu ERL,
Di celah buku yang tersusun di MPH,
Kau di Kuala Krai, di Mentakab, di Jengka, di Tawau, di Sibu, di Kangar,
Bahkan di Dubai, Sharjah dan Abu Dhabi,
Di hotel,
Di homestay,
Di asrama BTPN,
Aku melihatmu ketika aku bersedih,
Aku ingin tahu,
Apakah ini tandanya bahawa aku menyintaimu?

Di Sekolah Cinta

Aku bukanlah guru,
Yang boleh mengajar kau erti cinta dan seni-seninya,
Kau jualah yang tahu apa itu cinta dan rindu,
Ikan tidak memerlukan guru untuk berenang,
Burung tidak memerlukan guru untuk terbang,
Berenanglah,
Terbanglah,
Agar kau dapat merasai gelombang yang berkocak di kolam hati,
Cinta tidak perlukan buku,
Pencinta-pencinta dunia,
Mereka adalah orang-orang buta yang tidak tahu membaca.

Janji

Ketika aku berkata "Aku cinta padamu",
Aku tahu bahawa mereka akan menyimpan syak wasangka padaku,
Mereka akan menikamku dengan tombak beracun,
Gambarku akan diletak di tiap dinding bangunan sebagai penjenayah yang dikehendaki,
Cap jari tanganku akan diedar di seluruh balai polis,
Sesiapa yang dapat menangkapku akan diberi ganjaran besar,
Atau membawa kepalaku untuk digantung dan dipamer di pintu kota.
Ketika aku menulis namamu,
Di dinding Facebookku,
Aku tahu bahawa orang-orang buta huruf akan bangun memberontak melawanku,
Semua alim ulama, ahli politik, cendekiawan akan bangun berhujah membantah,
Para penganggur yang mengutip botol dan tin minuman akan mencebik mulut melihatku,
Memandang jijik terhadapku.

Aku berjanji akan terus menyintaimu,
Menjadikanmu permaisuri hidupku,
Walau Abu Bakar al-Baghdadi akan mengebom rumahku,
Kerana aku tahu sekawan merpati akan mengisytiharkan revolusi,
Mempertahankan cintaku.

Pertemuan Pertama

Ketika kita bersama,
Berkereta mencari secangkir kopi panas memecah sejuk pagi,
Kauletakkan kepalamu di bahuku,
Tiba-tiba bintang-bintang di langit terhenti lalu terkeluar dari radarnya,
Matahari yang terbit di ufuk timur kembali semula ke manzilnya,
Lalu kaudiam,
Diammu adalah keindahan,
Tuturmu adalah keindahan,
Tawamu adalah keindahan,
Senyummu adalah keindahan,
Kupulang meninggalkanmu,
Rindumu pula menjadi pelangi indah,
Perpisahan juga adalah keindahan,
Hingga aku merasa nikmatnya berjauhan,
Agar aku selalu mengingatimu.

¡Buenos Dias!

Kiranya kaumembaca,
Atau mendengar ketika ini,
Atau kemas kini status ini melintasi dinding muka bukumu,
Semoga pagimu mewangi bagai setaman melur yang kembang,
Butirnya memutih meminta harapan,
Agar hari ini lebih bahagia dari semalam,
¡Buenos Dias!

Pujukan

Sekiranya kau tidak bersedia untuk belayar bersamaku,
Aku tidak memaksa kau untuk membakar bahteramu,
Untuk meninggalkan segala kemewahan yang kau ada,
Meninggalkan harta benda,
Pangkat dan kedudukan,
Aku tidak memaksa engkau untuk menunggang kuda gila bersamaku,
Kegilaan adalah anugerah Allah kepada insan yang miskin cinta,
Kau yang kaya perlukan tiara kemuliaan,
Bukan tiara kata-kata,
Kau wanita intelek yang selalu menghitung tiap kalimat dalam kitabmu,
Sedangkan pujangga sepertiku tidak pernah mengira berapa aksara dan frasa yang terhambur dari bibir kekecewaan.

Cinta Yang Sukar

Cinta atau tidak,
Tahun, bulan, minggu dan hari tetap berlalu, 
Hilang bagai jerubu ditiup angin,
Kucuba satukan cinta,
Walau kutahu,
Betapa sukar mencantumkan kaca yang sudah berderai,
Terhempas ke batu.

Harapan

Mesejmu,
Di kotak Whatsappku,
Bertanda biru,
Bagai merpati jinak,
Menanti untuk tidur di tapak tanganku,
Tidak berbalas,
Bagai wangian melur,
Usah bertanya apa yang akan kulakukan pada diriku selepas pemergianmu,
Pemergianmu tidak akan berlaku,
Perjalananmu tidak akan terjadi,
Beg pakaianmu teguh berdiri di sisiku,
Pasportmu bersamaku,
Tiket pesawatmu juga dalam poketku,
Kau tidak akan berangkat pergi.

Persoalan

Persoalannya,
Bukan kau harus menyambar tas tanganmu lalu kau berlalu pergi,
Kerana setiap wanita akan mencapai tas tangannya,
Lalu pergi dalam keadaan marah.
Persoalannya,
Bukan menghembus lilin,
Lalu memadam api,
Meninggalkan aku dalam gelap-gelita,
Kerana menghembus lilin itu tanda gembira,
Mengundang niat dan cita.
Persoalannya,
Bukan kerana engkau,
Juga bukan kerana aku,
Kerana kita berada di dua penghujung cinta,
Yang tidak mungkin bersama di kordinat yang sama.
Tiada seorang pun yang akan mendengar pembelaanku,
Lalu aku dijatuhi hukuman bersalah,
Dihukum,
Sehingga aku tidak sempat menghadiahkan sekuntum mawar,
Untuk kuselitkan di rambutmu.

Impian

Pada usia ini,
Tidak mampu menawan segala,
Puncak gemala,
Serta cinta yang sama,
Terlerai benih asmara,
Beralah,
Sambil menyimpan kenangan yang tak terbayang,
Seketika di dunia,
Mungkinkah bertemu di lembah,
Yang mengalir sungai madu dan susu di bawahnya,
Bersama Habil, Iqlima dan Irdina,
Menjadi satu keluarga.

Tuesday, November 3, 2015

Moga Kau Kembali

Zamanmu taman,
masamu hijau,
mengingatimu seperti burung mematuk hati,
aku penuhkan gelas kita lalu kita mabuk bersama-sama,
seperti golongan sufi mabukkan Allah,
kau menerobos ke dalam sejarah hidupku pada waktu malam,
sejarah hidupku menjadi kasturi,
kau adalah tangkai padi di sawah,
kaulah burung,
kaulah dahan pine,
kau memegang anganku,
lalu impianku menjadi sungai, 
hujan cinta turun mencurah hingga kini,
kau terlewat tiba membawa janji cinta,
kita membesar,
air mata kita menjadi dewasa,
malam kita semakin tua,
namun kau belum tiba,
aku sentiasa mengingatimu setiap sore,
ingatanku berdaun lebat ketika aku merinduimu,
lukaku terlupa ketika aku menutup bibirku,
seolah luka tidak berlaku dalam hatiku,
aku menyintaimu tanpa tafsiran,
apa yang harus kutafsirkan sedang cinta kita sukar dimengertikan,
kau terlewat wahai kekasih hati!
malamku panjang,
api pelita berjaga menunggumu,
kau terlewat,
masa memakan dirinya,
hari-hari kita bertaburan,
kau bertanya umurku,
kaulah umurku,
Mahdiku,
kaulah revolusi jiwaku,
kaulah pembakarnya,
kaulah reformasi hidupku,
kubur orang lain semakin sempit,
tetapi kuburku semakin membesar dengan kehadiranmu,
kau terlewat,
kuda perangku bersedih,
pedangku kecewa atas kelewatanmu,
kudamu di utara sedang meneguk darah,
oh azab kuda begitu sengsara,
baju hijaumu mengunyah langkahmu,
di lehermu beribu kalungan bunga kuning menghiasimu,
kau terlewat tiba bagaikan al-Masih,
sementara luka Mariam semakin dalam,
wanita-wanita memakai celak kecewa,
walau mendiami kota dan istana,
lemon di kota semakin kering,
adakah pohon tanpa cinta akan subur menghijau?
adakah kau akan kembali kepadaku?
ketika aku kecewa ditawan perpisahan,
aku di sini sedang bersedia, berdoa dan berharap,
dunia kagum dengan ketabahanmu,
ketabahanmu mengharungi cinta bersamaku akan lebih dikenang,
menara-menara masjid memanggil kau kembali,
bulan malam ini menangisi perpisahan kita,
bunga mawar di taman sudah tidak dikunjungi embun,
embun air matanya sudah cukup membuatkan dia kebasahan,
kembalilah kepadaku,
maruahmu adalah negeriku yang akan kujaga dan kusimpan,
aku tewas dalam peperangan cinta denganmu,
aku dikepung oleh seribu kekecewaan,
di depanku kesengsaraan, di belakangku kedukaan,
akulah pohon kesedihan,
daun berguguran ketika salji tetapi tetap hidup, berbunga dan berbuah,
aku menyembelih sesiapa yang menghalangiku,
aku menyeberangi pintu maut menujumu,
aku tinggalkan untaku dan bajuku di belakang,
aku berjalan ke arah matahari yang sedia membakar dan membunuhku,
aku menjerit: Wahai Kekasihku!
Moga kau muncul sebagai al-Masih yang menyelamatkan daku daripada Dajjal kekecewaan.


Monday, November 2, 2015

Pelangi Petang

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku
Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkanHati ini
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua


Seluruh Cinta

Menatap kepergian dirimu
Meratap menangis sedih tak tertahan
Terbayang saat bersama
Lewati masa terindah
Saat kau memelukku tuturkan cinta

Kaulah seluruh cinta bagiku
Yang selalu menenteramkan perasaanku

Diri mu kan selalu ada disisi ku selamanya

Kau bagaikan nafas di tubuh ku
Yang sanggup menghidupkan segala gerakku
Ku kan selalu memujamu
Hingga nanti kitakan bersama

Tak sanggup ku memikirnya lagi
Habis separuh nyawaku tangisimu

Tiada lagi bait terindah
Terdengar merdu terucap
Merayu menyanjungku
Tenangkan jiwa

Kaulah seluruh cinta bagiku
Yang selalu menenteramkan perasaanku
Dirimu kan selalu ada disisiku selamanya

Kau bagaikan nafas di tubuh ku
Yang sanggup menghidupkan segala gerakku
Ku kan selalu memujamu
Hingga nanti kitakan bersama

Tiada cinta yang setulus cintamu
Tiada yang sanggup gantikan dirimu

Tiada rasa seindah kasihmu
Tiada yang mampu temani diriku ohhh...

Kaulah seluruh cinta bagiku
Yang selalu menenteramkan perasaanku

Dirimu kan selalu ada disisi ku selamanya ohhh

Kau bagaikan nafas di tubuhku
Yang sanggup menghidupkan segala gerakku
Ku kan selalu memujamu
Hingga nanti kitakan bersama

Kau bagaikan nafas di tubuhku
Yang sanggup menghidupkan segala gerakku
Ku kan selalu memujamu
Hingga nanti kitakan bersama

Ku kan selalu memujamu
Hingga nanti kitakan bersama

Kemelut Di Muara


Seandainya dapat kau selam
Sambil mentafsir tasik hatiku
Cuma tenang di permukaan
Dan di dasarnya bergelora
Persoalan demi persoalan
Membelenggu akal dan fikiran
Tidak ku temu jawapan
Seandainya dapat kulari
Jauh kupergi membawa diri
Sebenarnya langkah terkunci
Antara kasih dan juga budi
Mengapa kau juga yang kurindu
Walau sudah kutahu
Payah bersatu hidup denganmu
Engkau sungguh jujur dan ikhlas
Terhadapku
Tak pernah walau dalam sekalipun
Kau minta ku membalas
Semuanya itu lambang kesetiaanmu
Bukannya mengaburi mata ini
Atau sebaliknya
Kita bagaikan pertaruhan
Pada yang menyaksikan jauh manakah
Kita bertahan
Jika ku tersilap pastinya
Dipandang hina
Terlalu banyak sungguh halangan
Terpaksa ku terjang
Akupun tidak tahu
Apa yang ingin Tuhan tunjukkan
Adakah ini dugaannya
Hanyalah sekadar untuk menguji
Setiamu
Seandainya hajat tak sampai
Tanah dan badan pasti berkecai
Terkubur harapan di liang cinta
Kasih ini kita semadikan..

Tilikan Ibu

Ibu duduk di depanku,
Dia merenungku,
Merenung garis di lubuk cawan kopiku,
Ketakutan menghuni matanya,
Dia berkata: Wahai anakku!
Usahlah bersedih,
Cinta adalah takdir yang sudah tertulis,
Sesiapa yang mati kerana cinta,
Matinya adalah mati syahid,
Hidupmu adalah satu peperangan,
Kamu akan bercinta,
Kamu juga akan mati,
Kamu akan menyintai wanita di bumi ini,
Dan kau akan pulang seperti raja yang tewas dalam peperangan,
Dalam hidup kamu nanti ada seorang wanita,
Matanya seperti zamrud,
Bibirnya bagai lukisan,
Senyumannya adalah muzik dan bunga ros,
Tetapi langit akan menurunkan hujan,
Jalan ke arahnya terhalang,
Kekasih hatimu, wahai anakku!
Sedang tidur di istana yang dikawal,
Istana itu amat besar, anakku!
Di sana ada anjing di samping tentera yang berkawal,
Puteri hatimu sedang tidur,
Sesiapa yang cuba mendekatinya akan dihumban ke penjara,
Ibu telah lama menilik garis di cawan,
Tetapi garis di cawanmu berlainan dengan cawan orang lain,
Ibu tidak pernah melihat kesedihan yang lebih derita daripada kesedihanmu,
Kau ditakdirkan untuk berjalan di atas bara,
Di lehermu ada belati menunggu masa,
Kau akan bersendirian seperti cengkerang di pantai,
Kau akan dilanda kesedihan sepanjang hidupmu,
Takdir akan menenggelamkanmu di lautan cinta,
Kau akan bercinta dan bercinta,
Tetapi kau akan kembali seperti raja yang tewas dalam peperangan.

Marahlah!

Marahlah semahumu,
Lukakanlah perasaanku semahumu,
Pecahkanlah pasu bunga dan cermin,
Ugutlah aku untuk menyintai lelaki-lelaki lain,
Tindakanmu sama sahaja,
Katamu sama sahaja,
Kamu seperti kanak-kanak, wahai kekasihku!
Kita tetap sayang kepada mereka walau mereka menyakitkan hati kita,
Marahlah,
Kau semakin jelita ketika memberontak,
Marahlah,
Laut tidak akan terjadi tanpa ombak,
Jadilah ribut,
Jadilah hujan,
Aku tetap memaafkan segala perbuatanmu,
Marahlah,
Aku tidak akan membalas cabaranmu,
Kau adalah anak kecil yang nakal,
Burung pun tidak membalas dendam atas batu yang kaulemparkan,
Pergilah,
Andai suatu hari kau bosan denganku,
Tuduhlah aku,
Salahkanlah takdir yang menemukan kita,
Tinggalkanlah aku bersama air mata dan kesedihan yang kau tanam di jiwaku,
Diamku adalah penawar,
Kesedihanku adalah penawar,
Pergilah,
Kiranya kau penat dengan sikapku,
Bumi ini dipenuhi lelaki dan penjual minyak wangi,
Ketika kau mahu melihatku,
Atau memerlukan daku seperti kanak-kanak rindukan ibu,
Pulanglah ke hatiku kiranya kau mahu,
Kaulah kekasihku,
Kaulah langit, kaulah bumi,
Marahlah semahumu,
Pergilah bila kau mahu,
Kau pasti kembali suatu hari nanti,
Kerana kau tahu kesetiaanku.

Permohonan Maaf Daripada Seorang Lelaki

Aku memohon kemaafan kehadapan wajahmu yang sedih seperti matahari petang,
Kerana mencoretkan kata di suapan ini,
Menabur kata dan janji indah,
Seperti lelaki-lelaki lain,
Yang pernah mengecewakanmu beribu-ribu kali,
Aku memohon maaf atas kebodohan yang telah aku lakukan,
Atas segala perbuatanku,
Atas kemusnahan yang berlaku atas tubuhmu,
Dan atas debu yang ditinggalkan oleh bara yang membakar hatimu,
Aku memohon maaf,
Aku memohon maaf kerana menuliskan puisi-puisi jahat,
Ketika cinta kita semakin musnah,
Puisiku adalah penjaraku,
Puisiku adalah racun yang akan membunuhku,
Puisiku adalah belati yang menusuk rusukku,
Aku memohon kemaafan,
Pergilah,
Aku tidak mahu mencemarkan maruahmu,
Justeru, aku datang untuk memohon kemaafan daripadamu.

Segalanya Telah Berakhir

Segalanya telah berakhir,
Dengan turunnya hujan pada malam tadi,
Segalanya telah berakhir,
Jerubu pun telah hilang,
Pagi ini aku rasa aku hendak menangis,
Seperti kanak-kanak yang menangis untuk kembali ke sekolah selepas cuti,
Aku ingin menangis di bahumu,
Di atas suapan Facebook ini,
Apabila hujan,
Tiada lagi matahari,
Tiada lagi pelangi,
Aku menjadi burung tanpa sarang selepas kau membuat keputusan untuk pergi,
Hatiku cengkerang telur yang sudah menetas,
Burungnya terbang entah ke mana,
Hujan yang turun menghentam wajahku,
Lenganku,
Tiada lagi orang yang mempertahankanku daripada serangan hujan,
Aku tenggelam dalam air mataku,
Aku kembali menjadi kanak-kanak,
Air mata yang mengalir di rambutmu umpama embun yang membasahi tangkai gandum,
Kau pergi bagaikan burung,
Mencari kepastian,
Dan tingkap kosong yang masih terbuka untuk kauhuni,
Di tengah kegelapan malam,
Hujan yang turun,
Menyembunyikan bintang dan awan dalam bajunya,
Aku dikunjungi kesedihan yang terbit dari gua sore,
Seperti anak-anak gelandangan,
Basah bajunya,
Basah pipinya,
Aku buka pintu buat kesedihan,
Aku bentangkan tempat tidur buatnya,
Aku selimutkannya,
Aku berikan apa sahaja kemahuannya,
Dari mana datangnya kesedihan?
Bagaimana dia datang?
Membawa bersama-samanya bunga lili,
Membawa bersama-samanya,
Sebuah beg yang dipenuhi duka dan air mata.

Aku Memohon Supaya Engkau Pergi

Biarlah kita berpisah,
Demi kebaikan cinta ini, kekasihku,
Dan demi kebaikan kita bersama,
Biarlah kita berpisah,
Aku mahu rasa cinta bertambah,
Aku mahu membencimu,
Walau antara kita ada kenangan yang berharga,
Demi cinta yang indah antara kita,
Yang masih terpahat di bibir kita,
Yang masih tertanam di tangan kita,
Demi apa yang pernah aku coretkan di suapan ini,
Dan demi wajahmu yang yang dipenuhi bunga mawar,
Dan sisa cintamu yang melekat di rambutku,
Di kukuku,
Demi segala kenangan,
Dan kesedihan dalam senyuman,
Cinta kita telah menjadi lebih indah dari kata,
Demi kisah cinta yang paling indah dalam hidup kita,
Aku mohon supaya engkau pergi.
Biarlah kita berpisah,
Burung-burung pun meninggalkan pergunungan apabila tiba masanya,
Matahari menjadi lebih menawan apabila cuba membawa dirinya,
Jadilah kesangsian dan azab dalam hidupku,
Jadilah legenda,
Jadilah fatamorgana,
Jadilah soalan di bibirku,
Tanpa jawapan,
Demi cinta yang terindah,
Yang menghuni di tiap sempadan hatiku,
Supaya aku terus berada dekat di hatimu,
Aku mohon supaya engkau pergi,

Biarlah kita berpisah,
Biarlah kita berpisah walau masih ada sisa cinta di hati kita,
Kerana dengan air mata,
Aku dapat melihat wajahmu,
Melalui api dan asap,
Aku dapat melihat wajahmu,
Biarlah kita terbakar,
Biarlah kita menangis,
Sesungguhnya kita sudah lupa nikmat tangisan berkurun yang lalu,
Biarlah kita berpisah,
Supaya cinta kita tidak menjadi cinta biasa,
Dan rindu kita tidak menjadi debu,
Supaya bunga mawar tidak layu di tangkainya,
Tenangkanlah hatimu, si kecilku!
Cintamu masih memenuhi ruang mata dan jiwaku,
Aku masih menghargai cinta agungmu,
Aku masih mengharap untuk memilikimu,
Kaulah pahlawanku,
Tetapi,
Tetapi,
Aku takut dengan perasaanku,
Aku takut dengan naluriku,
Aku takut kita bosan dengan rindu kita,
Aku takut dengan perhubungan kita,
Demi cinta kita yang terindah ini,
Yang berbunga dalam jiwa kita,
Yang bersinar seperti matahari di pipi kita,
Dan demi kisah cinta terindah pada zaman ini,
Aku mohon supaya engkau pergi,
Supaya cinta kita berakhir dengan keindahan,
Supaya umur cinta kita berpanjangan,
Aku mohon supaya kau pergi.