Wednesday, November 4, 2015

Kembara

Aku memaut tanganmu seperti Alonso yang mencekak kemas stereng keretanya,
Kubawamu ke setiap kaki lima gedung perniagaan,
Berjalan dan berehat di Pavillion, Berjaya Times Square, One Utama dan Aman Sentral walaupun kau lebih selesa menikmati karipap di kedai catuk di simpang tiga,
Ingin kubawamu ke Paris, Milan dan La Paz tetapi aku tidak memiliki pasport,
Aku tidak mempunyai gambar untuk kubuat pasport pun,
Semenjak aku berumur tiga tahun,
Aku tidak suka bergambar,
Kerana setiap hari wajahku berubah,
Setiap hari warna mataku bertukar,
Aku tidak suka duduk di kerusi jurufoto,
Aku tidak suka bergambar kenang-kenangan,
Lihatlah wajah kanak-kanak di dunia ini,
Wajah mereka sama sahaja,
Anak-anak perang Syria sama seperti anak-anak kita yang gagal Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris dalam SPM,
Mereka umpama gigi sikat,
Aku celupkan pasportku dalam gelas,
Aku biarkan dakwatnya luntur meresap bersama-sama air kesedihan lalu kuminum,
Aku berazam untuk mengembara ke seluruh alam dengan basikal kebebasan,
Merentas sempadan tanpa visa dan pasport,
Apabila aku ditangkap, disoal oleh imigresen dan pengawal sempadan di mana alamatku,
Aku akan berkata bahawa aku tinggal di hatimu,
Dari mana asal usulku?
Aku akan memberitahu mereka bahawa aku berasal dari denyut nadimu,
Ke mana tujuanku?
Ke matamu.
Supaya mereka tahu bahawa mengembara ke dalam matamu adalah hak seluruh warga alam.

No comments:

Post a Comment