Wednesday, November 4, 2015

Penyerahan

Aku ingin serahkan kepada kamu semua segala buku yang tersusun dalam perpustakaan di rumahku,
Aku ingin serahkan semua penaku,
Segala fail dalam cakera kerasku,
Juga yang terdapat dalam pen drive serta yang kumuat naik dalam stor awan di Google dan iCloud,
Ambillah fail-fail yang kumuat turun dan kusimpan dalam iBookku,
Kerana dia telah mengajarku perkataan baru,
Yang lebih bermakna daripada seribu buku,
Lebih bermakna daripada seribu kata yang terbit daripada seribu liter tinta.
Aku perlukan jari yang lain,
Untuk kutuliskan kata cintanya,
Aku perlukan mata yang lain untuk kubaca buku cintanya,
Aku perlu akal dan hati yang lain untuk kufaham bisikan cintanya,
Aku perlukan pena yang lain untuk kugambarkan cintanya,
Supaya kudapat melukis bajunya, anting-antingnya, alisnya,
Dengan butiran kata,
Yang kadang-kadang seperti hujan,
Atau molekul jerebu yang terbang dari seberang.

Ingin kuhadiahkan kepadanya sehelai baju yang kuanyam dengan kalimat cinta,
Yang belum pernah kuhadiahkan kepada sesiapa pun,
Ingin kuajarkannya bagaimana mengeja namaku,
Agar dia dapat memahat namaku di dinding hatinya.

No comments:

Post a Comment