Wednesday, November 4, 2015

Sesat

Telah lama kau sendirian,
Aku ingin membawamu mengembara,
Aku mahu membawamu menaiki keretapi gilaku,
Meninggalkan platform kisah silam,
Melupakan landasan dan nama-nama pengembara,
Pakailah baju sejuk yang kubelikan ketika memasuki sempadan Zurich,
Hujan yang turun membasahi baju sejukmu lalu menumbuhkan pokok ganja,
Selepas pemergianmu, hujan turun lagi lalu membasahi baju sejukku tetapi menumbuhkan pohon zaqqum yang membakar halkum,
Setiap kali kita mengembara
Kau sering memintaku belikan kepadamu minyak wangi,
Kau bagai anak-anak yang sering menanti kepulangan ibu,
Kubawa padamu minyak wangi,
Wangiannya berkocak kegembiraan,
Bayangkan,
Minyak wangi pun gembira dapat mendampingimu,
Minyak wangi pun benci untuk berjauhan denganmu,
Pernahkah kau berfikir,
Ke mana aku ingin membawamu,
Feri tahu pelabuhannya,
Ikan tahu lubuknya,
Sekawan burung layang-layang tahu kutubnya,
Kecuali kita,
Yang tiada penghujungnya,
Kita menyelam dalam air tetapi tidak lemas,
Kita mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat,
Kita tinggal di lapangan terbang tanpa berangkat,
Kau dan aku menjadi pengembara yang paling gila sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment