Monday, November 2, 2015

Tilikan Ibu

Ibu duduk di depanku,
Dia merenungku,
Merenung garis di lubuk cawan kopiku,
Ketakutan menghuni matanya,
Dia berkata: Wahai anakku!
Usahlah bersedih,
Cinta adalah takdir yang sudah tertulis,
Sesiapa yang mati kerana cinta,
Matinya adalah mati syahid,
Hidupmu adalah satu peperangan,
Kamu akan bercinta,
Kamu juga akan mati,
Kamu akan menyintai wanita di bumi ini,
Dan kau akan pulang seperti raja yang tewas dalam peperangan,
Dalam hidup kamu nanti ada seorang wanita,
Matanya seperti zamrud,
Bibirnya bagai lukisan,
Senyumannya adalah muzik dan bunga ros,
Tetapi langit akan menurunkan hujan,
Jalan ke arahnya terhalang,
Kekasih hatimu, wahai anakku!
Sedang tidur di istana yang dikawal,
Istana itu amat besar, anakku!
Di sana ada anjing di samping tentera yang berkawal,
Puteri hatimu sedang tidur,
Sesiapa yang cuba mendekatinya akan dihumban ke penjara,
Ibu telah lama menilik garis di cawan,
Tetapi garis di cawanmu berlainan dengan cawan orang lain,
Ibu tidak pernah melihat kesedihan yang lebih derita daripada kesedihanmu,
Kau ditakdirkan untuk berjalan di atas bara,
Di lehermu ada belati menunggu masa,
Kau akan bersendirian seperti cengkerang di pantai,
Kau akan dilanda kesedihan sepanjang hidupmu,
Takdir akan menenggelamkanmu di lautan cinta,
Kau akan bercinta dan bercinta,
Tetapi kau akan kembali seperti raja yang tewas dalam peperangan.

No comments:

Post a Comment