Wednesday, April 27, 2016

Jalan ke Tanzania

PERTEMUAN saya dengan beliau bermula ketika sedang makan-makan di lobi Pusat Persidangan Pendidikan Qatar. Saya mengambil tempat di celah-celah peserta dan pengiring pertandingan debat Bahasa Arab di Yayasan Qatar. Setelah memperkenalkan diri, saya berbual-bual dengan beberapa orang peserta dan pengiring daripada Afrika Selatan dan Tanzania.

Dr Arif Mouboubou membawa peserta daripada sekolah Islam yang diuruskan oleh Persatuan Muslim Tanzania. Persatuan ini menguruskan lebih daripada 2,500 buah sekolah di Tanzania. Beliau mempelawa saya ke Tanzania untuk melihat sekolah-sekolah yang diuruskan oleh persatuan mereka.

Penerbangan saya dari Kuala Lumpur ke Tanzania menggunakan penerbangan Emirates EK343 ke Dubai mengambil masa selama 7 jam. Penerbangan dari Dubai ke Lapangan Terbang Julius Nyerere di Dar Es Salaam pula menggunakan penerbangan EK742 mengambil masa selama 5 jam 30 minit.

Saya tiba di Lapangan Terbang Julius Nyerere pada pukul 2.25 petang. Setelah melakukan urusan keluar daripada lapangan terbang, saya berjalan ke balai ketibaan. Di sana saya melihat Dr Mouboubou telah menunggu saya. Cuaca di luar amat sejuk. Walaupun suhu mencatatkan bacaan 18 darjah celcius, tetapi angin yang bertiup mencengkam tubuh. Tanzania terletak di 6.16 darjah Selatan di bawah Garisan Khatulistiwa iaitu hampir sama dengan kedudukan Timur Leste.

Dr Mouboubou membawa saya ke Pusat Islam al-Azhar di Tabata. Pusat Islam ini menempatkan sebuah masjid, dewan komuniti dan sebuah sekolah. Terdapat tiga peringkat sekolah di Pusat Islam ini, rendah, menengah rendah dan menengah atas. Selain daripada Pusat Islam, Tabata juga mempunyai pusat agama lain seperti Amani dan Aman Center yang menempatkan gereja dan aktiviti agama Kristian. Nama-nama yang digunakan adalah nama Arab. Menurut sejarah, bahasa Arab merupakan bahasa rasmi Tanzania sebelum ditukar kepada bahasa Inggeris oleh penjajah. Tetapi nama-nama Arab masih kekal digunakan walaupun melibatkan agama selain daripada Islam.

Salah sebuah sekolah yang diuruskan oleh Persatuan Muslim Tanzania adalah Sekolah Islam Syeikh Pogo Salam. Sekolah ini terletak di kaki Bukit Mbezi. Ketika melakukan penaziran ini, saya amat kritikal. Saya agak berterus-terang dan memberitahu apa yang saya lihat di Malaysia dan membuat perbandingan dengan Tanzania.

Selepas melawat beberapa buah sekolah di Tanzania, saya dibawa ke pulau Zanzibar. Sebenarnya Tanzania adalah gabungan dua teritori iaitu Tanjanika dan Zazibar. Penggabungan kedua-dua teritori ini berlaku dalam tahun 1964. Zanzibar merupakan tempat persinggahan pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab. Kesan-kesan kebudayaan Arab-Islam amat jelas di sini. Dari Tanaka, kami ke Pengkalan Feri di Sokoine. Perjalanan ke Pulau Zanzibar mengambil masa selama dua jam dengan tambang sebanyak 35 Dollar.

Secara kesimpulannya, prestasi sekolah di Tanzania dipengaruhi oleh kepimpinan sekolah. Di sebuah sekolah, saya bertemu dengan seorang guru bernama Mariam. Dia mengajar Pendidikan Islam dalam bahasa Inggeris. Mereka mengguna kurikulum dan buku teks yang digunakan oleh sekolah-sekolah Islam di England. Saya mendengar keluhan hatinya.

Katanya, ketika dia baru mengajar, pengetuanya seorang yang amat baik. Selalu membimbing guru-gur baharu. Pengetua itu seorang yang amat mesra. Semua guru dan murid amat menyayangi pengetua itu. Bagi mereka, dialah guru, pengetua dan ibu mereka. Apabila ada guru yang sakit, dia menziarahi mereka di hospital atau di rumah. Pada ketika dia menjadi pengetua, tidak ada seorang pun yang memohon berhenti daripada menjadi guru. Di Zanzibar tidak ada sistem perpindahan seperti kita. Sekiranya mereka ingin bertukar ke sekolah lain, mereka mesti meletak jawatan dan memohon kerja di tempat baharu.

Atas faktor usia, pengetua itu berhenti. Pengetua itu sudah berusia dan tidak mampu lagi mengurus dengan baik. Daripada menjadi liabiliti kepada sekolah, lebih baik dia meletak jawatan. Dengan perkembangan teknologi moden, sebagai orang lama yang tidak tahu menggunakan komputer, lebih baiklah dia berhenti. Itu belum dikira dengan perancangan pendidikan yang memerlukan dia memahami asas-asas statistik, plan strategik pendidikan, pembelajaran abad ke-21, cumulative sindrom, head-count dan berbagai-bagai perkara lagi. Dia insaf dengan ketidakmampuannya memimpin sekolah. Dia tidak boleh mengharap semuanya dilakukan oleh penolong kanannya sahaja.

Dia melihat akibat tidak mampu memahami statistik pendidikan, mutu pendidikan di sekolahnya semakin merosot. Baguslah dia sedar. Dia meletakkan jawatan sebelum mala petaka besar menimpa sekolah yang memberi kesan kepada murid-muridnya. Ustazah Mariam terus bercerita. Saya hanya mendengar sambil merenung matanya yang bersinar itu. Itu sekiranya pengetua itu sedar. Bagaimana dengan pengetua yang tidak sedar bahawa dia sebenarnya menjadi liabiliti kepada murid, guru dan sekolahnya. Itu dalam konteks Zanzibarlah. Kalau dalam konteks Malaysia? Dia menjadi liabiliti kepada negara sebenarnya.

Kebanyakan sekolah diurus dengan sumber kewangan yang terhad. Mereka hanya ada duit ketika hendak membina sekolah, tetapi tidak fikir duit yang perlu digunakan untuk mengurus sekolah. Ini termasuk emolumen guru, pengurusan, kawalan keselamatan, kebersihan, bekalan makanan dan lain-lain. Sekolah-sekolah terpaksa meminta derma daripada masyarakat agar sekolah terus beroperasi. Kadang kala, terdapat guru yang terpaksa mencari sumber pendapatan di luar dengan menduakan atau memadukan profesion keguruan.

Sekolah-sekolah yang berdiri sebagai entiti sendiri ini sebenarnya tidak baik dari aspek perpaduan sesebuah negara. Murid-murid yang keluar daripada sistem pendidikan nafsu nafsi ini gagal untuk berfikir dalam kerangka holistik dan bersepadu. Mereka hanya berfikir selapis dan selari dengan kelompok mereka sahaja tanpa mempertimbangkan kedudukan orang lain. Akhirnya, perpaduan, seperti negara-negara Afrika yang lain, hampir tidak wujud dalam negara mereka. Walaupun Zanzibar merupakan majoriti negara umat Islam, tetapi disebabkan oleh ketidaksepakatan mereka dalam berbagai-bagai aspek kehidupan, mereka diperintah oleh orang-orang Kristian.

Perkara-perkara ini saya catatkan secara berterus-terang dalam laporan saya kepada Dr. Arif pada akhir lawatan saya. Saya serahkan kepada mereka laporan-laporan yang saya rasa mereka perlu transformasikan. Di antara penekanan yang saya laporkan adalah keperluan mengadakan satu kurikulum Pendidikan Islam yang sama di seluruh negara, menggunakan sukatan pendidikan Islam yang bersifat lokal, bukan sukatan yang diambil daripada sekolah Islam dari Al-Azhar, England atau Afrika Selatan. Selain daripada itu, sekolah-sekolah Islam tidak hanya menekankan aspek pengajian Islam semata-mata, sebaliknya murid-murid perlu diajar dengan pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris serta membangunkan kemahiran murid dalam menggunakan aplikasi teknologi baharu.

Saya tidak yakin sejauh mana mereka mampu berubah. Kerana perubahan itu perlukan kekuatan. Perubahan perlu citra dalamdiri untuk berubah dan kenapa perlu berubah. Perubahan yang kita lakukan bukanlah untuk diri kita. Perubahan yang kita lakukan adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Agar kita hidup dalam dunia yang singkat ini dengan aman dan damai, dapat menghirup udara yang bersih, hidup dalam persekitaran yang bersih, bukan hidup dikelilingi oleh sampah sarap atau manusia yang menjadi sampah kerana tidak berpendidikan.