Wednesday, December 21, 2016

Hikayat Burung Hantu dan Burung Gagak

“KITA sudah mendengar perumpamaan orang yang setia bersahabat dan berkasih-kasihan. Sekarang ceritakanlah pula perumpamaan musuh yang jahat, yang tidak padam permusuhan mereka, sekalipun mereka telah menjadi kawan pada zahirnya.”
“Ampun, Tuanku,” sembah Baidaba, “musuh yang semacam itu adalah sejahat-jahat musuh, dan orang yang mempercayainya akan binasa juga suatu ketika nanti. Serupalah halnya, dengan burung hantu yang percaya kepada musuhnya gagak, dan akhirnya dapat diperdayakan oleh musuhnya itu.”
“Ceritakanlah hikayatnya, kita dengar.”
“Di puncak sebuah gunung yang tinggi, terdapat sebatang pohon beringin yang amat besar. Pada pohon itu, tinggal sekumpulan burung gagak yang diperintah seekor presiden yang bergelar seorang ulama. Agak jauh dari pohon itu ada sebuah gua batu tempat kediaman sekumpulan burung hantu, dan diperintah oleh seekor ketua sekular pula. Antara kedua bangsa burung itu sudah lama timbul perasaan permusuhan, hanya menunggu waktu untuk berperang sahaja. Pada suatu malam, raja burung hantu keluar bersama-sama dengan soldadu dan bala tenteranya, pergi menyerang kediaman burung gagak. Dalam gelap gulita itu, burung gagak tidak berdaya menangkis serangan musuhnya, maka banyaklah yang mati dan luka-luka. Para burung yang gagak itu diisytihar sebagai syahid oleh ulama burung gagak."
Setelah hari siang, rakyat gagak datang menghadap presiden mereka, mengadu hal mereka semalam. "Maha Suci Presiden," sembah mereka. "Malang celaka kami ini diserang burung hantu semalam. Beratus-ratus mati syahid. banyak juga yang patah, luka, tercabut bulu dan menanggung bermacam-macam kesengsaraan. Kami bimbang kalau musuh itu berulang-ulang datang menyerang kita. Kami tidak berdaya menghadapi mereka selain memohon supaya Tuan Guru Presiden memohon doa agar diberi perlindungan oleh Yang Maha Kuasa. Jika tiada, binasalah kami kesemuanya."
Tuan Guru Presiden dibantu oleh lima orang AJK parti yang membantu mengurus dan menasihatinya. Setelah mendengar aduan daripada rakyatnya, Tuan Guru Presiden gagak menjemput penasihatnya untuk bermesyuarat.
"YB Ustaz, apa pendapat enta? Apa yang perlu kita lakukan terhadap musuh kita itu?"
"Tuan Guru Presiden, ana mengambil pandangan cerdik pandai. Musuh yang jahat hendaklah dijauhi. Jadi jika hendak selamat, kita hendaklah berpindah dari sini, mencari tempat tinggal yang lain."
"Dato', apa pulakah pemandangan anta?" tanya Tuan Guru Presiden kepada Ketua Penerangan parti.
"Tuan Guru Presiden, pendapat ana sesuai dengan pendapat saudara ana, YB Ustaz." 
"Pada hemat saya," titah Tuan Guru Presiden, "kalau hanya baru sekali kita diserang musuh, belumlah sampai masa kita perlu meninggalkan tempat kita ini. Lebih baik kita himpunkan tentera kita. Kita pula menyerang musuh itu di tempat mereka pula. Siapa tahu kalau-kalau dapat kita kalahkan mereka. Sungguhpun demikian, apa pula pendapatmu wahai menantuku? 
"Wahai bapa mertuaku! Ana rasa pendapat YB Ustaz dan Dato' Ketua Penerangan tidak sesuai pada ketika ini. Ana rasa lebih baik kita menyelidiki apa sebenarnya kemahuan burung hantu itu sehingga mereka sanggup memerangi kita. Jika tujuan mereka adalah untuk merampas harta kita, lebih baik kita berdamai sahaja. Kita buat perjanjian untuk membayar ufti tahunan kepada mereka. Pemimpin yang bijaksana tiada lokek mengeluarkan biaya untuk memelihara diri, rakyat, dan kerajaan daripada bahaya musuh, bukan hanya mengutip GST semata-mata."
Setelah Tuan Guru Presiden gagak mendengar kata menantunya, beliau bertanya pula kepada Tuan Guru Timbalan. "Apa pendapat enta wahai Tuan Guru Timbalan? "Tuan Guru Presiden! Ana rasa pendapat menantu Tuan Guru Presiden tidak sesuai. Daripada membayar ufti kepada musuh yang jauh lebih hina daripada kita, ana rasa lebih baik berpindah dari tempat ini. Lebih-lebih lagi ana rasa, burung hantu pun tidak sudi menerima ufti daripada kita. Berapa sangatlah ufti kita itu pun. Sedangkan derma yang mereka dapat daripada dermawan Arab berbillion ringgit. Kecuali kalau kita dapat membayar lebih daripada derma itu. Orang tua-tua telah berkata, dekatilah musuhmu sekadarnya, supaya tercapai apa yang engkau maksud. Tetapi jangan terlalu engkau dekati, supaya jangan dipijaknya kepalamu. Tongkat jika dimiringkan tegaknya sekadarnya, panjang bayang-bayang. Tetapi jika lebih dari semestinya bayang-bayang  bertambah pendek tidak bertambah panjang. Oleh sebab itu, ana rasa lebih baik kita perangi musuh itu."
"Tuan Guru Presiden bertanya pula kepada Murshidul Am, "Apa pula pendapat Ustaz yang bijakasana? Berperangkah, berdamaikah, atau berpindah dari sini?"
"Tuan Guru," sembah Murshidul Am itu. "Adapun berperang, maka sekali-kali kita tidak mampu menghadapi musuh kita itu. Orang tua-tua berkata, barangsiapa yang tidak tahu diri, tiada pula dia tahu akan musuhnya, memerangi orang yang tiada terlawan olehnya, hanya membinasakan dirinya sendiri sahaja. Orang cerdik sekali-kali tidak memandang rendah kepada musuhnya. Orang yang memandang rendah mudah terperdaya, dan orang yang senagaja mahu diperdayakan oleh musuh, tiada akan selamat. Ana sangat takut kepada burung hantu itu. Orang yang bijaksana senantiasa siaga terhadap musuhnya, sama ada jauh ataupun dekat. Orang yang bijaksana senantiasa akan mengelakkan perang sedapat-dapatnya, kerana kurban yang diminta peperangan sangat besar. Di luar peperangan hanya harta, atau perbuatan yang baik atau pikiran yang mulia yang dikurbankan orang. Jadi, ana rasa tidak sesuai untuk kita berperang kerana berperang dengan musuh yang lebih kuat bererti kita sengaja membunuh diri. Sungguhpun demikian, ana ingin mengemukakan satu usul kepada Tuan Guru Presiden yang harus dirahsiakan. Terdapat berbagai-bagai jenis rahsia. Ada rahsia yang boleh diketahui oleh kaum keluarga, ada yang perlu diketahui oleh seluruh kampung, dan ada yang hanya boleh dipersaksikan oleh empat telinga dan dua lidah. Rahsia yang ana hendak katakan dengan Tuan Guru Presiden ini adalah rahsia jenis terakhir itulah."
"Mendengar kata Murshidul Am itu, Tuan Guru Presiden bangun dari tempat duduknya, lalu melangkah masuk ke dalam bersama-sama dengan Murshidul Am. Setelah kedua-duanya duduk, Tuan Guru Presiden bertanya kepada Murshidul Am tentang punca permusuhan burung hantu dan burung gagak."
"Tuan Guru Presiden, permusuhan itu disebabkan oleh mulut juga pada asalnya."
"Bagaimana mulanya? Ceritakanlah kepada ana."
"Pada suatu waktu dahulu kala, burung bangau berhimpun untuk memilih burung hantu menjadi raja. Tiba-tiba seekor gagak datang ke tempat itu. Burung bangau bertanya kepada burung gagak, patutkah burung hantu menjadi pemimpin mereka?"
"Pada pendapat saya," kata gagak, "sekalipun di dunia ini sudah tiada lagi burung merak dan burung lainnya, kamu tetap tidak boleh memilih burung hantu menjadi pemimpin. Bagaimana dia boleh diangkat menjadi pemimpin sedangkan dialah burung yang amat buruk rupanya daripada sekalian jenis burung, kelakuannya sangat jahat, akalnya pendek, pemarah, kurang kasih sayang dalam hatinya dan matanya tidak dapat melihat pada siang hari. Sekiranya hendak dilantik juga menjadi pemimpin, dia hanya boleh menjadi pemimpin boneka sahajalah, hanya pada nama. Sedangkan kekuasaan tergenggam di tangan kamu. Sudahkah kamu mendengar cerita arnab yang melantik bulan sebagai pemimpin?"
"Belum, ceritakanlah kepada kami!"
"Di satu penjuru hutan, tinggal sekumpulan gajah. Pada suatu musim, hutan itu dilanda kemarau panjang. Segala telaga dalam hutan itumenjadi kering. Gajah-gajah menjadi kehausan. Suatu hari, dengan perintah raja, beberapa ekor gajah keluar mencari sumber air. Selepas itu, seekor gajah pulang membawa berita bahwa dia telah menjumpai sebuah telaga yang dipenuhi air. Telaga itu dipanggil Telaga Bulan. Selepas mendengar berita baik itu, raja gajah berangkat dengan rakyatnya untuk minum dari telaga tersebut. Telaga itu terletak dalam hutan berhampiran tempat kediaman sekumpulan arnab. Banyaklah arnab yang mati dipijak oleh gajah, manakala kediaman mereka rosak binasa. Binatang yang lemah itu pun berhimpun dan mengadu kepada raja mereka memohon perlindungan.
"Wahai rakyatku," seru raja arnab, "barangsiapa di antara kamu mempunyai pendapat bagaimana kita menghindari bahaya itu, sila kemukakan kepada beta."
"Ampun, Tuanku," sembah seekor arnab tua. "Jika Tuanku percaya kepada patik, biarlah patik pergi kepada gajah itu. Patik akan mengusir mereka dari sini dengan budi dan akal patik. Jika Tuanku izinkan, biarlah patik pergi ditemani seseorang yang Tuanku percayai untuk melaksanakan misi ini."
Raja amat sukacita apabila mendengar kata arnab tua itu. Raja mengetahui bahawa arnab itu seorang yang bijaksana. 
"Pergilah sendiri," kata raja, "aku percaya kepadamu. Sungguhpun demikian, ingatlah bahawa utusan menjadi wakil bagi diri yang mengutusnya. Sebab itu hendaklah engkau berhati-hati, sabar, dan berdada lapang, supaya tercapai maksudmu. Jangan engkau melakukan pekerjaan yang akan mendatangkan keburukan dan kecelakaan kepada orang yang mengutusmu."
"Pada suatu malam yang diterangi sinar bulan, arnab tua itu keluar menuju tempat persinggahan gajah. Ketika sampai di tempat itu, arnab itu mendaki sebuah bukit kecil dan berseru, Wahai gajah!" katanya, "aku adalah utusan Maharaja Bulan. Aku ingin menyampaikan perintahnya. Oleh sebab itu, janganlah gusar kiranya apa yang aku sampaikan ini mengganggu perasaanmu."
"Apa perintah itu?" tanya raja gajah.
"Bulan bertitah, barangsiapa yang sedar bahawa dirinya kuat, kemudian dia menzalimi makhluk yang lemah, akhirnya kekuatannya itu akan menjadi bencana ke atas dirinya. Engkau ini, wahai gajah, mengetahui bahwa dirimu jauh lebih kuat daripada orang lain. Oleh itu, engkau merasa sombong. Engkau kotorkan telagaku dan engkau keruhkan airnya. Maka kuutus utusanku memberi peringatan kepadamu. Jika sekali lagi engkau ulangi perbuatanmu, akan kubutakan matamu dan kubinasakan jiwamu. Jika engkau kurang percaya kata utusanku itu, datanglah ke telaga sekarang juga, engkau akan bertemu denganku di sana."
Raja gajah menjadi takut setelah mendengar kata-kata arnab itu. Dia berjalan bersama-sama arnab ke telaga. Ketika melihat bayang bulan dalam telaga, dia menjadi bertambah takutnya.
"Tuanku, ambillah air dengan belalaimu," kata arnab, "basuhlah mukamu dan sujudlah menyembah Maharaja Bulan."
"Sebaik sahaja gajah memasukkan belalainya ke dalam air, air berolak dan bayang bulan bergerak-gerak.
"Mengapakah muka Maharaja Bulan bergerak-gerak?" katanya. "Adakah dia murka kerana aku memasukkan belalaiku ke dalam telaga?"
"Tentu dia murka," jawab arnab.
Raja gajah sujud kepada bulan dan bertaubat. Malam itu juga dia berangkat pulang bersama-sama dengan hamba rakyatnya.
"Selain daripada itu," kata gagak, "burung hantu itu tiada integriti. Dia suka menipu dan memperdayakan orang. Justeru, amatlah besar bahayanya jika dia dilantik menjadi raja. Barangsiapa tunduk kepada raja penipu, samalah halnya dengan pelanduk dan burung puyuh yang mengadu masalah mereka kepada kucing."
"Ceritakanlah hikayatnya kepada kami," kata burung bangau.
"Ada tetanggaku seekor puyuh membuat sarang di pangkal sepohon pokok berhampiran tempat kediamanku. Dia biasa datang bertandang ke rumahku. Pada suatu waktu, dia menghilangkandiri. Tidak kuketahui ke mana perginya. Seekor pelanduk datang ke tempat itu dan tinggal di lubang puyuh itu. Oleh kerana aku tidak ingin bermusuhan dengannya, aku tidak memperdulikan perbuatannya itu. Beberapa hari lalu, burung puyuh kembali kerumahnya. Alangkah terperanjatnya burung puyuh apabila melihat sarangnya didiami oleh pelanduk.
"Ini rumahku," kata puyuh. "Keluarlah engkau dari sini."
"Rumahku," jawab pelanduk, "aku yang mendiaminya. Jika engkau mengaku rumah ini rumahmu, apa buktinya?"
Kedua-dua binatang itu terus tuduh-menuduh. Semakin lama suara mereka semakin keras. Tiada siapa yang hendak beralah dan mengaku salah. Akhirnya burung puyuh berkata: "Jika engkau membantah juga, marilah kita berjumpa hakim."
"Siapakah yang akan menjadi hakim?" tanya pelanduk.
"Di tepi sungai, kulihat ada seekor kucing bertapa. Setiap hari dia berpuasa dan sepanjang malam dia beribadat. Dia tidak pernah menumpahkan darah dan menyakiti orang. Marilah kita pergi bertemu dengannya."
Kedua-dua binatang itu pergi menemui kucing. Kucing segera berdiri ketika melihat pelanduk datang bersama-sama dengan puyuh. Dia terus berdoa dan berzikir memohon petunjuk Yang Maha Kuasa. Kedua-dua binatang itu semakin takut dan insaf atas  kesalahan mereka. Ketika merek sampai, mereka memberikan salam dan memohon agar kucing menjadi hakim untuk menyelesaikan perselisihan mereka. 
Burung puyuh mula bercerita.
"Aku ini telah tua," kata kucing, "dan telingaku sudah pekak. Sebab itu datanglah dekat denganku."
Kedua-dua binatang itu pun datang dekat dengan kucing, dan puyuh mengulangi ceritanya sekali lagi.
Selesai puyuh bercerita, kata kucing: "Sebelum hukuman kujatuhkan lebih baik kunasihati kamu terlebih dahulu. Pertama: hendaklah kamu takut kepada Allah dan janganlah mencari yang lain sebagai sekutunya. Orang yang berdiri di atas kebenaran, itulah yang menang, sekalipun kalah dalam perlawanan. Dan orang yang berdiri di atas yang salah, dia tetap kalah, sekalipun dia menang dalam perlumbaan. Tiada apa di dunia ini yang dapat dimiliki oleh seseorang kecuali amal saleh yang dikerjakannya selama hidupnya. Sebab itu, hendaklah orang yang budiman berusaha mengerjakan pekerjaan yang kekal faedahnya, dan dapat menolongnya pada esok hari. Bagi orang yang berakal, harta tiada lebih harganya daripada sebidang tanah kering. Oleh sebab itu, lihatlah orang lain seperti melihat diri sendiri juga."
Setelah mendengar kata-kata yang manis dan nasihat yang indah-indah, kedua-dua binatang itu bertambah percaya kepada kucing. Kedua-duannya lupa akan bahaya yang akan menimpa mereka. Tiba-tiba kucing melompat, menerkam dan membunuh kedua-duanya. Demikianlah orang yang percaya kepada hakim yang tidak jujur. Sifat yang busuk seperti itu ada pada burung hantu. Oleh sebab itu, nasihat aku, janganlah melantik burung hantu menjadi pemimpin kamu."
"Atas nasihat gagak, burung hantu tidak dilantik menjadi pemimpin oleh burung bangau. Malang bagi gagak kerana kata-katanya itu diketahui oleh burung hantu.
"Engkau telah berbuat sesuatu yang tidak baik kepadaku," katanya kepada gagak. "Padahal aku tidak pernah berbuat jahat kepadamu, sehingga engkau membalas dendam terhadap diriku. Pohon kayu yang ditebang dengan kapak, akan keluar tunasnya dan tumbuh  kembali. Badan yang luka terkena pedang, mungkin sembuh lukanya. Namun, luka akibat lidah tiada penawarnya dan tidak mungkin sembuh buat selama-lamanya. Panah yang terlepas dari busur lalu menembus kulit dan daging dapat dicabut dan dikeluarkan. Tetapi kata yang terlepas dari mulut, apabila menusuk hati, tiada dapat diundur lagi. Tiap-tiap yang membakar ada yang dapat memadamnya. Api dipadam dengan air, bisa dilawan dengan penawar, dan kesusahan dipadam dengan kesabaran. Namun, api dendam tidak dapat dipadam. Dan engkau wahai gagak, hari ini telah menanamkan benih permusuhan antara kita."
Setelah dia berkata demikian, dia terbang lalu memberitahu hal itu kepada rajanya. Gagak pun menyesallah atas perbuatannya yang tiada dipikirnya itu. 
"Demi Allah!" katanya, "sesungguhnya kesalahanku amat besar kerana mengeluarkan kata-kata yang mendatangkan permusuhan terhadap diri dan bangsaku. Mengapakah aku harus berdiam diri sahaja? Burung yang lain pun tentu mengetahui apa yang kuketahui itu. Tetapi, mereka mendiamkan diri kerana bimbang bahaya yang akan muncul. Perkataanku tadi sama hakikatnya dengan anak panah yang beracun. Orang yang cerdik tidak mahu mencari permusuhan, sekalipun dia tahu dirinya kuat. Adakah pandai orang yang memiliki ubat lalu dia meneguk racun kerana mengetahui penawarnya? Bukankah bodoh namanya apabila tidak berunding dengan orang lain ketika memutuskan sesuatu  perkara yang besar dan tiada pula mempertimbang kesan baik dan buruk terlebih dahulu? Barangsiapa yang tidak  mahu berbincang dengan orang pandai-pandai, dan berani berbuat sesuatu menurut kemahuannya semata-mata, dengan tiada menimbang baik-baik, pasti akan menyesal suatu ketika nanti."
Burung gagak amat menyesal atas apa yang telah berlaku. Tetapi sesal kemudian, kata orang tua-tua, tiada gunanya. Begitulah punca timbulnya permusuhan itu, Tuan Guru Presiden. Kemudian menurut pendapat ana, tiada cukup kekuatan kita untuk memerangi musuh itu. Sungguhpun demikian ada akal yang hendak ana cadangkan, mudah-mudahan ada hasilnya. Banyak orang yang telah berjaya apabila bertindak menggunakan akal. Sudahkah Tuan Guru mendengar cerita beberapa orang penipu, dengan mudahnya merampas kambing seorang pengembala?"
"Bagaimanakah ceritanya, wahai Murshidul Am?"
"Seorang pengembala telah membeli seekor kambing yang gemuk untuk dijadikan korban lalu berjalan pulang ke rumahnya. Di tengah jalan, dia bertemu dengan beberapa orang jahat. Mereka merancang untuk menipu pengembala kambing. Seorang di antara mereka datang kepada pengembala dan berkata, "Hai pengembala, mengapakah Tuan mengheret anjing?" Kemudian, datang seorang lagi dan berkata, "Orang ini bukan Islam, orang Islam tidak membawa anjing." 
Mereka bergilir-gilir datang kepada pengembala itu sambil mengatakan bahawa yang dibeli dan diheret itu adalah anjing. Akhirnya pengembala itu percaya bahawa binatang itu adalah anjing, tetapi dia nampak seperti kambing kerana matanya telah disihirkan oleh penjual kambing. Ketika itu juga dia melepaskan binatang itu lalu dia meneruskan perjalanan. Maka kambing itu pun ditangkap oleh orang-orang jahat tadi.
Demikianlah Tuan Guru, kerap kali dengan tipu muslihat manusia mencapai maksudnya dengan mudah. Ana pun ingin hendak mencuba suatu tipu daya. Tetapi sebelum ana melakukannya, hendaklah Tuan Guru perintahkan supaya bulu ana ini dicabut terlebih dahulu. Sudah itu, Tuan Guru hendaklah berpindah dari sini ke suatu tempat yang akan ana tunjukkan, dan tinggalkanlah ana seorang diri di sini. Mudah-mudahan ana ditangkap oleh musuh itu, dan dibawanya ke sarangnya, hingga dapat ana mencari jalan hendak membinasakan mereka."
"Anta relakah diperlakukan begitu, wahai Murshidul Am?" tanya Tuan Guru Presiden Gagak.
"Mengapakah pula ana tiada suka Tuan Guru Presiden? Inilah pengorbanan ana demi kesejahteraan Tuan Guru dan jemaah gagak sekaliannya. Apa gunanya kita berjuang sekiranya tidak berkorban demi rakyat? Setakat hendak membela perompak dan perasuah serta mendiamkan diri terhadap GST, lebih baik kita tinggal di dahan pokok sahaja."
Tuan Guru Presiden pun bertitahlah supaya bulu Murshidul Am dicabut. Setelah selesai pekerjaan itu, Tuan Guru Presiden Gagak serta jemaah sekaliannya berpindah ke tempat yang telah ditunjukkan oleh Murshidul Am gagak itu. Setelah hari malam, seekor burung hantu datang hendak melihat-lihat keadaan gagak. Dia amat terperanjat apabila melihat tiada seekor gagak pun di tempat itu lagi. Ketika dia hendak pulang, dia mendengar suara seekor gagak mengaduh kesakitan. Dia menangkap gagak itu lalu dibawa ke hadapan presidennya. Sampai sahaja ke hadapan Presiden Burung Hantu, bangunlah seorang di kalangan yang hadir berbisik mengatakan bahwa gagak itu ialah Murshidul Am yang sangat dipercayai oleh Tuan Guru Presiden Gagak. Presiden Burung Hantu merasa teruja untuk mengetahui mengapakah Murshidul Am Gagak menjadi begitu. Dia meminta agar gagak menceritakan keadaannya.
"Yang Amat Berhormat Dato' Seri Presiden Burung Hantu," sembah gagak. "Pada suatu hari Tuan Guru Presiden berunding dengan jawatankuasa kerja parti bagi membincangkan apa yang perlu dilakukan terhadap musuh, iaitu barisan tentara Dato' Seri. Maka, saya berdatang sembah mengatakan bahawa tiada guna melawan, kerana musuh jauh lebih berani dan lebih kuat. Saya berkata lebih baik kita berdamai saja dan membayar GST kepadanya. Kalau musuh mengizinkan kita terus tinggal di sini, kita tinggallah di tempat yang lama, tetapi jika tidak kita hendaklah berpindah ke tempat lain. Tidak ada yang dapat melemahkan hati musuh yang keras, selain daripada menundukkan diri dan mengikuti kemahuannya. Rumput hanya selamat daripada bahaya badai disebabkan oleh lemahnya, mahu menurut ke mana arah angin. Mendengar kata saya itu, mereka menjadi marah kepada saya. Saya dituduh sebagai pengkhianat kepada bangsa dan agama. Lalu mereka mencabut bulu-bulu saya. Kemudian saya ditinggalkan seorang diri sedangkan mereka pergi ke destinasi yang tidak saya ketahui."
"Presiden Burung Hantu merasa amat kasihan selepas mendengar cerita Murshidul Am gagak itu.  "Apakah pendapat kamu tentang gagak ini?" tanya Dato' Seri Presiden kepada wazir-wazirnya."
"Dato' Seri," sembah Menteri Penerangan, "saya berpendapat elok sahaja kita bunuhnya sekarang juga. Di antara musuh kita, dia yang paling tua dan amat bijaksana. Sebab itu jika dia binasa, selamatlah kita daripada tipu dayanya. Musuh kita akan kehilangan seorang besar yang sukar dicari gantinya. Kata orang-orang tua, barangsiapa beroleh kesempatan yang baik, tetapi tiada dipergunakannya sebagaimana sepatutnya, maka orang itu adalah orang bodoh. Kesempatan jarang datang dua kali. Orang yang tidak membinasakan musuh ketika mereka lemah, dia akan menyesal melihat musuh itu menjadi kuat dan dia tidak berdaya lagi ke atasnya."
"Engkau apa pula pendapatmu, wahai Ketua Pemuda?" tanya Dato' Seri Presiden.
"Yang Amat Berhormat Dato' Seri Presiden, saya berpendapat lebih baik kita rawat dan pelihara gagak itu dengan baik. Mudah-mudahan dia pandai membalas kebaikan kita kepadanya kemudian hari. Perpecahan di kalangan musuh menjadi suatu keuntungan bagi kita. Pernahkan Dato' Seri mendengar cerita seorang pemuda yang terlepas daripada bahaya kerana pergaduhan musuh mereka?"
"Bagaimana ceritanya?"
"Seorang pemuda mempunyai seekor lembu betina yang banyak air susunya dan mahal harganya. Pada suatu malam, seorang pencuri datang mencuri lembu itu. Waktu itu, seekor hantu rimba hendak melarikan pemuda itu ke dalam hutan. Di tengah jalan, kedua-dua mereka yang jahat itu bertemu."
"Siapa engkau?" kata hantu ketika melihat pencuri. 
"Aku pencuri hendak mencuri lembu pemuda itu. Engkau pula siapa?" 
"Aku hantu hendak melarikannya ke dalam hutan." 
"Setelah sampai ke rumah pemuda itu, penjahat dan hantu berpakat mencari jalan bagaimana hendak mencuri pemuda dan lembunya." 
"Kata hantu kepada pencuri, "Kalau engkau curi lembunya dahulu, kau takut dia terbangun dan berteriak, hingga orang ramai datang. Sebab itu biarlah kularikan dia dahulu, kemudian kau lakukanlah apa yang engkau kehendaki." 
"Kalau engkau larikan dia dahulu," jawab pencuri, "aku bimbang dia akan terjaga, dan aku tidak dapat mencurilembunya lagi. Biar kucuri lembunya dahulu." 
"Keduanya sama-sama keras dan tidak yang mahu mengalah. Setelah lama berbantah-bantah, pencuri menjadi sakit hati dan berteriak, "Hai pemuda, bangunlah, hantu ini hendak melarikan kau ke dalam hutan." 
"Hantu pun berteriak juga dan berkata, "Hai pemuda, bangunlah, pencuri ini hendak mencuri lembumu." 
"Maka pemuda itu pun terjaga dari tidurnya dan memanggil orang-orang yang berdekatan rumah dengannya, masing-masing datang membawa kayu untuk memukul pencuri lembunya. Kedua penjahat itu pun larilah dengan tergesa-gesa."
"Saya bimbang , Dato' Seri," kata Menteri Penerangan, "kalau-kalau gagak itu hanya hendak memperdayakan kita semata-mata. Sebab itu baik juga kita beringat-ingat, supaya jangan menyesal di kemudian hari." 
"Dato Seri Presiden tidak memperdulikan nasihat Menteri Penerangan. Dia meminta agar gagak itu dipelihara dengan sebaik-baiknya.
"Beberapa lamanya sesudah itu, suatu hari burung gagak datang mengadap Presiden Burung Hantu. "Yang Amat Berhormat Dato' Seri Presiden, Dato' Seri telah mengetahui betapa kejamnya saya dianiaya oleh jemaah gagak, presiden dan bangsa saya sendiri. Sekiranya tidak kerana ihsan dan belas Dato' Seri, tentulah jiwa dan raga saya telah binasa. Hati saya sangat luka kerana perbuatan bangsa saya itu. Rasanya luka itu tidak akan sembuh sebelum saya dapat menuntut bela, tetapi apalah daya saya, kerana saya hanyalah seekor gagak. Saya dengar orang tua-tua berkata, barangsiapa rela dirinya dibakar menjadi abu, maka dia telah mengerjakan perbuatan yang sangat mulia. Ketika itu, segala permohonannya akan dkabulkan. Oleh sebab itu jika ada kemurahan hati Dato' Seri, biarlah saya membakar diri saya ini, dan saya pohon kepada Tuhan supaya dihidupkan saya sekali lagi menjadi burung hantu. Ketika itulah saya akan dapat membalas dendam kesumat saya sepuas-puas hati."
"Perkataan kamu itu," jawab Menteri Penerangan, "sepanjang hemat saya, tidak berbeza dengan minuman yang berbau wangi dan enak rasanya, tetapi di dalamnya tersembunyi racun yang amat berbisa. Mungkinkah pada pendapat kamu, tabiat dan perasaan kamu akan berubah pula seperti perasaan burung hantu, sekalipun badan kamu telah kami bakar hingga menjadi abu? Tabiat yang asal tiada mungkin berubah-ubah selama-lamanya. Tidakkah kamu mendengar hikayat seekor anak tikus, disuruh memilih matahari, angin, awan, dan gunung untuk menjadi suaminya, akhirnya dia berkahwin dengan tikus juga?"
"Bagaimanakah ceritanya?" kata yang hadir."
"Ada seorang lelaki yang amat saleh, doa sentiasa dimakbulkan Allah. Pada suatu hari, ketika dia sedang duduk berzikir di pinggir laut, seekor burung helang melintas sambil menerbangkan seekor anak tikus di atas kepalanya. Tiba-tiba anak tikus itu terlepas dari genggaman helang dan jatuh di hadapan lelaki itu. Ketika lelaki itu melihat binatang yang lemah itu, dia menjadi kasihan lalu dipungut, diselimut dengan kain dan dibawa pulang. Di rumah, dia mendoakan supaya anak tikus itu menjadi manusia. Tiba-tiba tikus itu menjelma menjadi seorang anak perempuan yang amat cantik. Anak itu dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh lelaki itu dan isterinya. Setelah dia besar, lelaki itu berkata kepadanya, "Hai anakku, pilihlah siapa yang berkenan di hatimu untuk menjadi suamimu, agar dapat kujodohkan kamu dengannya."
"Jika ayah suruh memilih," jawab anak itu, "maka saya tidak akan bersuami, kecuali dengan seorang yang paling berkuasa di dunia ini."
"Kalau begitu mataharilah agaknya yang engkau ingini, hai anakku," kata lelaki itu." 
Lalu dia pergi menemui matahari.
"Hai raja siang," kata lelaki itu, "saya mempunyai seorang anak perempuan. Dia ingin bersuamikan seorang yang paling berkuasa di dunia ini. Pada pendapat saya, tidak ada yang lebih berkuasa daripadamu. Sebab itu, saya ingin bertanya, sukakah kamu menjadi suaminya?"
"Ada lagi yang lebih berkuasa daripadaku," jawab matahari. "Awan lebih berkuasa daripadaku. Dia berani melindungi cahayaku dari muka bumi dan menutup wajahku hingga aku tidak dapat melihat dunia ini." 
Sang bapa pun pergi menemui awan pula dan berkata seperti mana dia berkata kepada matahari. "Ada juga yang lebih berkuasa daripadaku," jawab awan. "Angin dapat bertiup sesuka hatinya lalu membawaku ke barat dan ke timur. Pergi kepadanya."
Lelaki itu pergi menemui angin.
"Aku bukanlah yang paling berkuasa," kata angin. "Ada yang lebih besar kuasanya daripadaku iaitu gunung. Bagaimana pun kencangnya aku bertiup, namun tiada juga dapat kugerakkan gunung itu."
"Lelaki itu pergi pula kepada gunung dan dikatakannya pula permintaannya."
"Bukan aku yang paling berkuasa," jawab gunung. "Tikus lebih berkuasa daripadaku. Aku tidak mampu menghalangnya daripada menebuk jasadku dan membuat lubang menjadi tinggalnya. Pergilah menemuinya!"
"Mendengar kata gunung, lelaki itu pergilah menemui tikus dan dikatakan permintaan anaknya. Jawab tikus, "Bagaimana aku akan kawin dengan anak kamu, dia manusia dan saya ini tikus."
"Ketika itu, dengan izin si anak, lelaki itu berdoa supaya Tuhan mengembalikan anaknya itu menjadi tikus kembali. Dengan sekelip mata, anak perempuannya bertukar menjadi tikus semula lalu mereka pun berkahwin."
"Demikianlah kejadian yang asal itu tiada akan dapat berubah-ubah selama-lamanya."
"Sekalipun cerita itu diberitahu kepada presiden burung hantu, dia tidak membenci burung gagak, bahkan hatinya bertambah sayangnya kepada burung gagak itu. Setelah burung gagak menjadi orang kepercayaan presiden burung hantu, dia mula menyelidiki segala yang perlu diketahuinya. Setelah cukup kajian dan penyelidikannya, secara senyap-senyap, dia kembali menemui Tuan Guru Presiden Gagak. Tuan Guru Presiden mengarahkan jemaah gagak mengumpulkan kayu yang kering di muka gua tempat kediaman burung hantu itu. Setelah banyak kayu terkumpul, mereka membakar kayu-kayu tersebut. Semua burung hantu dalam gua itu pun mati. Tuan Guru Presiden Gagak pun pulanglah kembali ke tempat kediaman asal mereka semula bersama-sama dengan para jemaah mereka. Mereka bersuka ria dan bersyukur kerana terlepas daripada kejahatan burung hantu yang selama ini menjadi musuh mereka.
"Pada suatu hari, Tuan Guru Presiden gagak bertanya kepada Murshidul Amnya. "Wahai Murshidul Am, bagaimana Ustaz dapat menahan hati bersahabat dengan burung hantu dan bergaul dengan mereka demikian lamanya? Biasanya orang baik-baik tidak tahan tinggal bersama-sama dengan orang yang jahat."
"Tuan Guru Presiden," sembah Murshidul Am Gagak, "Apabila datang sesuatu perkara kepada orang yang bijaksana, yang mungkin mendatangkan bahaya besar kalau tidak dipikulnya, maka haruslah dia sabar memikulnya, sekalipun bagaimana juga pahitnya. Kesabaran itulah kunci kemenangan dan kebahagiaan."
"Ceritakanlah kepadaku, wahai Murshidul Am, banyakkah di antara rakyat burung hantu itu yang cerdik dan bijaksana?"
"Ana tiada bersua dengan orang yang bijaksana di antara mereka itu, selain daripada Menteri Penerangan yang menasihati presidennya supaya membunuh ana. Akan tetapi nasihatnya itu tiada didengari oleh presiden. Rupanya presiden itu lupa, bahawa ana Murshidul Am Tuan Guru. Mereka percaya saja bahawa saya tidak akan melakukan tipu muslihat atas diri mereka kerana tidak mungkin seorang alim ulama seperti ana ini boleh menipu. Oleh kerana itu mereka tidak sembunyikan rahsia mereka daripada ana, padahal orang tua-tua telah berkata, patutlah raja menjaga rahsianya. Jangan sekali-kali dibuka rahsia walau kepada sesiapa pun."
"Kalau begitu," kata Tuan Guru Presiden Gagak, "kerana pertimbangannya yang pendek itu jugalah, maka gerombolan burung hantu itu binasa. Mereka juga binasa kerana pendapat Ketua Pemuda yang tidak bergeliga.
"Sebenarnya demikianlah, Tuan Guru Presiden." jawab Murshidul Am. "Jarang orang yang tidak mabuk kerana kebesaran dan kekuasaan. Jarang orang yang banyak makan yang tidak mendapat sakit, dan jarang raja yang percaya kepada menterinya yang tidak setia yang tiada rugi akhir kesudahannya. Orang pandai-pandai berkata, janganlah orang yang sombong mengharap pujian daripada orang lain, janganlah harap penipu akan beroleh teman banyak, yang jahat akhlak dan tingkah laku akan menjadi mulia, yang tamak akan terpelihara daripada dosa. Dan jaranglah raja yang tiada berhati-hati, yang kurang siasat latar belakang menterinya, akan kekal kerajaannya dan sejahtera rakyatnya."
"Benar katamu itu, wahai Murshidul Am. Tetapi penderitaan Ustaz demi menyelamatkan jemaah ini tidak akan luput dari ingatan ana selama-lamanya."
"Tuan Guru Presiden," jawab Murshidul Ama Gagak, "orang yang berani menderita kesusahan yang menjadi jalan untuk mencapai kemenangan baginya serta jemaahnya, orang itu tidak dapat tidak, akan berbahagia jua akhirnya. Tidakkah Tuan Guru Presiden  mendengar bagaimana ular merendahkan dirinya mahu menjadi kenderaan raja katak, supaya dengan mudahnya dia beroleh makanan setiap hari?"
"Ceritakanlah supaya ana dapat dengar!"
"Kata yang punya cerita, ada seekor ular, yang sudah hilang tenaganya, rabun matanya kerana sudah terlalu tua umurnya. Dia sudah tidak berkuasa lagi memburu mangsanya. Pada suatu hari, dia merayap keluar sarangnya sehingga dia sampai di sebuah kolam yang didiami oleh sekumpulan katak. Kolam itu dahulu sudah kerap kali didatanginya. Setelah sampai, dia berbaring seperti orang berdukacita. Seekor katak bertanya kepadanya, "Hai ular, apakah sebabnya kulihat engkau berduka cita?"
"Bagaimana aku tiada berdukacita," jawab ular, "Engkau pun tahu aku ini hidup dengan memakan bangsamu. Akan tetapi sejak hari ini, aku yidak dapat dapat menagkap katak lagi, kerana diriku telah kena sumpahan orang. Tentu aku akan mati kelaparan."
"Kata ular itu disampaikan kepada raja katak. Maka, raja katak datang mendapatkan ular."
"Tanya raja katak, "Bagaimana mulanya maka engkau terkena sumpahan?" 
"Pada suatu hari hamba memburu seekor katak. Binatang itu lari ke rumah seorang tua. Ketika itu hari sudah hampir magrib. Waktu hamba mengejarnya, hamba nampak sesuatu bergerak-gerak. Hamba sangka barang itu adalah katak yang hamba kejar, lalu hamba terkam. Rupa-rupanya itu adalah tangan anak perempuan itu. Anak itu mati kerana lalu hamba pun larilah. Tetapi perempuan itu mengejar hamba. Oleh kerana hamba tidak dapat ditangkap, dia telah menyumpah hamba. "Oleh kerana engkau telah membunuh anakku yang tiada berdosa," katanya, "aku meminta kepada Tuhan supaya hengkau menjadi hina selama-lamanya, sehingga menjadi kenderaan raja katak. Mulai saat ini, engkau tidak dapat menangkap walau seekor katak pun, kecuali apa yang diberikan oleh raja itu kepadamu."
"Demikianlah sumpahnya. Itulah sebabnya maka hamba datang kemari menyerahkan diri supaya menjadi kenderaan tuan hamba."
"Raja katak sangat girang hati mendengar kata ular. Ketika itu juga dia naik ke atas punggung musuh lamanya itu dan bersiar-siar di sekeliling kolam. Setelah puas dia berkenderaan, ular itu berkata kepada raja katak, "Tuan hamba telah mengetahui bahawa hamba tiada dapat mencari makan lagi. Oleh sebab itu berilah hamba makan supaya hamba tidak mati kelaparan."
"Benarlah katamu itu," jawab raja katak. Lalu diperintahkannya memberikan dua ekor katak setiap hari untuk makanan ular. Sejak hari itu senanglah hidup ular, dan tiadalah dia rugi merendahkan dirinya kepada musuh. Sebaliknya, yang menjadi beruntung ialah terpelihara hidupnya.
"Demikian pulalah Tuan Guru Presiden, ana merendahkan diri kepada musuh, tiada lain maksudnya, melainkan untuk mencapai matlamat kita, iaitu kesejahteraan kita dan kebinasaan musuh. Untuk berlawan dengan musuh tanpa senjata adalah dengan merendah diri. Api, sekalipun bagaimana juga nyalanya tidak dapat membinasakan melainkan bahagian pohon yang di atas tanah jua. Tetapi air, sekalipun cair dan lembut, dapat menumbangkan pokok dengan akar-akarnya sekaligus. Empat perkara tiada boleh dipandang kecil, api, penyakit, musuh, dan hutang. Apabila ada dua orang sama-sama menuju ke suatu matlamat, maka yang lebih mulia budinya itulah yang akan sampai lebih dahulu. Jika sama mulia budinya, maka yang lebih kuat kemahuannya dan jika sama kemahuannya, maka yang lebih sungguh berusaha. Orang pandai-pandai berkata pula, barangsiapa mahu memerangi raja yang bijaksana, berani lagi sabar, maka dia mencelakakan dirinya sendiri. Istimewa seseorang pemimpin seperti Tuan Guru, kerana pandai menempatkan sesuatu pada tempatnya, tahu menimbang baik buruknya."
"Semua itu, wahai Murshidul Am, adalah dengan nasihat dan panduan anta juga. Nasihat cerdik pandai dan golongan cendekiawan lebih berguna daripada bala tentera beribu-ribu. Sungguhpun demikian, ana ingin juga mengetahui bagaimana jalannya dapat enta mengunci lidahmu, tidak terlompat dari mulutmu walau sepatah kata pun juga, menjawab kata-kata burung hantu yang menyakitkan hati itu."
"Itu semuanya adalah berkat petunjuk dan tarbiah Tuan Guru Presiden juga," jawab Murshidul Am Gagak, "Tuan Guru tidak pernah melabel dan membaruakan musuh Tuan Guru, malah sering menasihati, mendekati yang dekat dan yang jauh dengan berlaku lemah-lembut dan dengan perbuatan yang baik."
"Berbahagialah engkau, wahai Murshidul Am," kata Tuan Guru Presiden, "Entalah seorang yang pandai bekerja, bukan seperti yang lain yang hanya pandai berkata-kata. Berkat tipu muslihatmu, kita telah dianugerahi Allah keamanan, pada hal dahulu kita tidak pernah makan makanan yang sedap, tidur kita tidak pernah nyenyak. Dahulu kita sakit, kerana orang sakitlah yang tidak dapat merasai enaknya makanan sehingga dia sembuh. Sekarang kita telah sembuh. Orang yang terpelihara daripada musuh, hatinya akan tenang."
"Tuan Guru Presiden, ana mendoakan kepada Allah yang telah membinasakan musuh-musuh kita, mudah-mudahan Tuan Guru dikekalkan di atas singgasana dalam bahagia yang sempurna, berbahagia pula hamba rakyat berkat pimpinan Tuan Guru Presiden yang adil dan istiqamah, sehingga sama-sama mereka dapat merasai bahagia dengan Tuan Guru Presiden. Pemimpin yang rakyatnya menderita sedang dia berbahagia, tidak akan sejahtera kedudukannya. Hidupnya tidak aman dan tidurnya tidak nyenyak. Dia asyik bermimpi bagai tidur di sebelah gergasi. Mudah-mudahan dikabulkan Allah kiranya doa ana itu. Amin ya Rabbal alamin!“

No comments:

Post a Comment