Wednesday, January 18, 2017

Jerat Modernisasi

Modernisasi adalah perubahan masyarakat dalam berbagai aspek kehidupan. Perubahan ini termasuklah dari segi pekerjaan, gaya hidup, kebersihan, keselamatan dan penghidupan yang lebih baik dan sempurna. Disebabkan dunia barat lebih dahulu berubah kepada modernisasi, kita menganggap bahawa modernisasi adalah mengikut gaya hidup barat. Lalu kita terkeliru di antara modernisasi dengan westernisasi.

Kadang-kala kita menganggap kiat perlu berubah sedangkan perubahan itu tidak kita perlukan. Hal ini disebabkan oleh iklan-iklan konsumer yang memaparkan barangan tersebut sebagai gaya hidup urban, baharu dan trendi. Walaupun sebenarnya kita tidak memerlukan pun barangan itu dalam kehidupan kita. Misalnya, kita dihidangkan dengan teknologi definisi tinggi televisyen dan dimomokkan kononnya definisi baharu merupakan teknologi terkini yang harus dimiliki. Persoalannya, sejauh mana definisi tinggi itu dapat meningkatkan kualiti hidup kita? Sejauh mana definisi tinggi itu dapat menggembirakan kita? 

Iklan-iklan ini dihiasi dengan hidangan kreativiti serta aplikasi komunikasi yang persuasif untuk memujuk dan mempengaruhi masyarakat konsumer. Ketika iklan rokok dibenarkan di televisyen suatu ketika dahulu, kita seringkali dihidangkan dengan gaya hidup merokok yang kononnya indah seperti belayar di lautan di atas kapal. Iklan-iklan ini mengambil faedah daripada teori Alex Inkeles bahawa manusia modern mempunyai 9 ciri berikut:
1. Menerima perkara baharu dengan terbuka.
2. Mempunyai keberanian mengemukakan pendapat.
3. Menghargai waktu.
4. Memiliki perancangan masa hadapan.
5. Percaya diri.
6. Membuat perhitungan yang logik.
7. Menghargai nilai diri orang lain.
8. Percaya kepada ilmu pengetahuan dan teknologi.
9. Menyanjung tinggi sikap yang baik serta membalas budi

Seringkali pengguna menjadi mangsa iklan-iklan ini dan berlumba-lumba menonjolkan diri menjadi masyarakat modern. Bukan sahaja pengguna biasa yang menjadi mangsa modernisasi, tetapi pemimpin-pemimpin di peringkat negara pun menjadi mangsa kepada modernisasi. Misalnya mereka berlumba-lumba membina bangunan-bangunan pencakar langit di negara mereka walaupun bangunan sedia ada di negara mereka tidak digunakan secara sepenuhnya. Sekiranya kita ke Asia Barat, kita melihat banyak bangunan dibina dan mereka berlumba-lumba membina bangunan sedangkan bangunan-bangunan sedia ada masih belum dihuni dan disewa.

Sejauh mana rakyat mendapat manfaat daripada pembinaan bangunan tinggi ini? Ketika dalam pembinaan, yang mendapat manfaat adalah buruh warga asing yang bekerja membinanya. Setelah siap, bangunan ini menjadi gedung perniagaan antarabangsa yang menempatkan syarikat-syarikat asing. Pekerja-pekerja daripada jurujual, pekerja kaunter sehinggalah pekerja kebersihan juga daripada rakyat warga asing seolah-olah negara dibina untuk warga asing. Apa maknanya pembangunan dan kemajuan kalau hanya memberi peluang kepada orang asing mencari peluang pekerjaan? 

Dalam sistem pengurusan dan ekonomi, negara-negara dipaksa untuk berhutang untuk membangun. Kita lihat Brazil yang dipaksa menjadi tuan rumah Piala Dunia. Brazil terpaksa menanggung kos RM42billion untuk menganjurkan sukan tersebut. Antaranya digunakan untuk membina stadium baru dan membaiki stadium sedia ada serta menyediakan kemudahan penginapan kepada penonton bola sepak dari seluruh dunia. Keuntungan yang dijanakan daripada Piala Dunia tersebut sebahagian besarnya diambil oleh FIFA, manakala komisyen yang diperoleh oleh Brazil tidak mampu pun untuk mejelaskan semua hutang yang dibuat untuk menjadi tuan rumah. Atas kesedaran itu, Datuk Bandar Rome, Virginia Raggi menolak bidaan bandar itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 kerana tidak mahu membebankan rakyat Itali dengan hutang akibat penganjuran sukan tersebut. 

Begitu juga dengan pasaran kereta. Syarikat-syarikat kereta berluma-lumba memperkenalkan model baharu. Toyota misalnya memperkenalkan dua tiga model bagi satu segmen dengan Vios dan Yaris. Begitu juga Proton yang mempunyai Exora dan Ertiga dalam segmen MPV. Honda mengeluarkan model-model B-RV, C-RV dan H-RV dalam segmen yang hampir sama. Persoalannya, sejauh mana keperluan kita terhadap kereta-kereta ini? Kenapa kita perlu menukar kereta baharu semata-mata untuk menjadi trendi dan modern seiring dengan peredaran zaman. 

Kecanduan kepada modernisasi dan mengikut arus terkini tanpa pertimbangan menular dalam kehidupan kita. Kita menjadi mangsa teknologi. Kita sanggup berhabisan ataupun membuat hutang untuk membeli telefon pintar terkini yang dibekal dengan berbagai-bagai aplikasi canggih walaupun aplikasi tersebut tidak diperlukan. 


No comments:

Post a Comment