Monday, January 16, 2017

Matlamat Pendidikan

Dalam hidup ini, kita mempunyai kepelbagaian matlamat. Begitu juga dalam pendidikan. Masing-masing orang, kumpulan, kelompok, bangsa dan negara mempunyai matlamat masing-masing. Ulama Tauhid mengatakan bahaa pendidikan bermatlamat mengukuhkan akidah dan meningkatkan tahap pengabdian manusia sebagai makhluk dalam segenap urusan kehidupan. Manakala ulama bidang fekah pula berpendapat bahawa matlamat pendidikan adalah untuk mendidik manusia supaya beribadat dengan sempurna dan memiliki akhlak yang terpuji (https://saaid.net/tarbiah/220.htm)

Bagi sesetengah kelompok, pendidikan bermaksud untuk membentuk akal dan jiwa mencapai ketinggian akhlak. Murid-murid dikatakan berjaya apabila mereka menjadi penggerak dan pemimpin dalam gerakan dakwah organisasi mereka. (http://musleh.edu.my/index.php/profail/pengenalan). Bagi PAS pula, pendidikan yang dianjurkan adalah sebagai wahana untuk mengembangkan pengaruh terhadap masyarakat di luar kelompok parti itu serta obligasi sosialnya dalam usaha memenuhi perlembagaan parti itu sendiri. Ianya juga akibat keperluan parti itu untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak ahli parti kerana sentiasa didesak untuk mewujudkan institusi pendidikan oleh ahli-ahli di semua peringkat (Ridhuan Mohd Nor, 2015 http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36874-64-tahun-pas-berbakti-di-medan-ilmu).

Dalam pendidikan kebangsaan, matlamat pendidikan diterangkan secara jelas melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyebut: Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, pendidikan kebangsaan adalah lebih bertanggungjawab dalam mengisi keperluan semua warganegara, seimbang dari segi rohani, jasmani dan emosi serta menjamin kesejahteraan hidup. Selain daripada itu, pendidikan kebangsaan juga memupuk elemen-elemen perpaduan dan silang budaya dan agama agar warganegara Malaysia dapat hidup dengan aman dan harmoni.

Perkara yang saya sebutkan ini penting kerana kefahaman yang tidak sebenar terhadap pendidikan menyebabkan berlakunya berbagai-bagai masalah kepada individu, masyarakat dan negara. Ada orang yang berpendapat bahawa pendidikan ini hanyalah mendidik akal semata-mata. Anak-anak mereka berjaya kiranya mendapat 6A dalam UPSR, 11 A dalam PT3, 10A+ dalam SPM dan mendapat CGPA 4.00 di menara gading. Justeru, ada yang mencipta sistem sendiri seperti pendidikan mandiri di rumah dengan harapan anak-anak mereka akan mendapat semua A dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Apa yang dibimbangi adalah anak-anak ini kehilangan kemahiran untuk berinteraksi dan bertoleransi dengan orang lain ketika dia mula hendak menjadi manusia sebenar.

Terdapat juga golongan ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menqada' kegagalan mereka ketika di alam persekolahan dahulu. Ketika mereka bersekolah dahulu, mereka tidak berpeluang untuk mempelajari ilmu agama dengan secukupnya. Apabila timbul kesedaran, mereka mula memilih aliran agama supaya anak mereka menjadi agamawan atau mampu menghafaz al-Quran. Situasi yang sering dihadapi adalah anak-anak ini tidak minat menghafaz al-Quran. Bahkan ada yang tidak mampu pun. Seorang pujangga mengatakan bahawa sekiranya kita menghantar anak yang tidak cemerlang akademiknya untuk belajar agama supaya dia menjadi agamawan, dan menghantar anak yang cemerlang akademiknya untuk menjadi saintis, sesungguhnya kita telah mengkhianat agama kita.

Terdapat juga kelompok atau parti politik yang menjadikan pendidikan sebagai survival sokongan dan kesinambungan kelompok atau parti mereka. Perkara ini jelas dilihat dalam Ridhuan Mohd Nor (2015) di mana pendidikan baginya adalah wahana mengembangkan pengaruh serta tuntutan ahli parti itu yang mahukan sistem pendidikan tersendiri dan eksklusif.

Dalam pendidikan, saya merasakan bahawa masa depan ummah dan negara ini harus didahulukan dengan mengetepikan elemen-elemen kelompok serta golongan tertentu. Semetelahlah menjadikan pendidikan sebagai satu sumber perniagaan. Apa tidaknya, sedangkan sekolah-sekolah yang diwujudkan pada mulanya untuk memberikan pendidikan kepada komuniti dan masyarakat, akhirnya terdedah bahawa institusi tersebut menjadi punca pendapatan dinasti. Mereka berkeras mahukan tender penyediaan makanan di kantin dan asrama serta biaya pembangunan diserah kepada mereka untuk diuruskan dengan mengetepikan peraturan sedia ada yang mengekang penyelewengan.

Murid-murid seharusnya dididik dengan ilmu dan kemahiran yang akan membantunya untuk menjadi seorang warganegara yang baik serta mampu membangunkan potensi diri dan menyumbang kepada pembangunan negara sepertimana yang dihasratkan dalam falsafah pendidikan kebangsaan. Mereka tidak harus menjadi mangsa kepada kehendak dan idealisme yang mahukan keunggulan tetapi tidak mempunyai prasarana yang cukup, guru yang terlatih dan profesional serta pengabaian terhadap aspek keselamatan dan kebersihan di sekolah. 

Sekolah-sekolah tidak harus mengharapkan keberkatan semata-mata, atau mengharapkan derma semata-mata untuk mengurus perjalanan sekolah. Kemampuan membina bangunan haruslah diiringi juga dengan kemampuan menyediakan sumber manusia yang mencukupi dalam setiap bidang, agama, sains, matematik dan kemanusiaan. Begitu juga dengan tenaga pengajar yang datang dan pergi sehingga menjejaskan pendidikan anak-anak. Murid-murid dalam negara Malaysia yang aman dan makmur ini harus tinggal di asrama yang selamat dan selesa, mengikuti pembelajaran yang berkualiti daripada guru-guru yang terlatih dan profesional.

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Berilah pendidikan yang mereka perlukan sesuai dengan minat, kemampuan dan kecenderungan mereka. Berilah masa untuk mereka membesar sebagai insan yang seimbang, ada waktu untuk belajar, bermain, berinteraksi sosial dengan rakan-rakan berlainan bangsa, agama dan fahaman agar mereka lebih bertoleransi. Supaya negara ini terus aman, makmur dan sejahtera.

No comments:

Post a Comment