Wednesday, June 21, 2017

Menangkap Malaikat Maut

Cerita ini mungkin panjang sedikit. Namun, cerita ini amat menarik. Sukar untuk saya simpan sendirian. Saya ingin berkongsi cerita ini dengan anda sekalian.
Ceritanya adalah tentang penduduk sebuah kampung. Kampung ini asalnya adalah sebuah penempatan elit. Mereka merasa mereka bijak dan pandai. Mereka tidak mahu lagi tinggal seperti di kampung-kampung lain di mana para penduduknya terdiri daripada pelbagai fahaman politik, PAS, Umno, Pan dan BERSATU, berpecah-belah kerana mazhab Wahabi dan Ahli Sunnah, dihuni oleh peminum ketum dan penagih dadah, pemuda-pemuda kaki betina dan peminum arak, perempuan-perempun mendedah aurat dan dada.
Mereka mahu hidup dalam sebuah kampung di mana semua orang sefahaman sahaja dengan mereka. Mereka membeli sebidang tanah lalu dijadikan lot-lot rumah. Mereka mendaftarkan kampung mereka di pejabat tanah dan daerah serta mendapatkan poskod baru bagi residensi mereka.
Kampung mereka dihuni oleh intelek. Semua penduduk di kampung mereka memiliki ijazah sarjana kedoktoran. Solat mereka sehari semalam lima waktu berjemaah di masjid. Pada bulan Ramadhan, mereka berbuka, bertaraweh, berqiyam serta bersahur di masjid.
Suatu hari mereka mereka berwacana tentang kehidupan abadi. Bagaimana agaknya hidup ibadat ini boleh diteruskan tanpa henti. Mereka mahu terus hidup beribadat seperti seribu bulan. Mereka tidak puas hati dengan lailatul qadar yang mereka temui setiap tahun. Apa tidaknya, pastilah mereka bertemu dengan lailatul qadar kerana teraweh mereka 20 rakaat yang diselangi dengan selawat itu tidak mereka tinggal walau semalam pun.
Akhirnya, mereka menyiapkan suatu kertas cadangan tentang menuju kehidupan abadi. Antara plan komunikasi yang dicadangkan adalah mencari asbab-asbab kematian. Setelah melakukan kajian kualitatif melibatkan responden yang terdiri daripada alim ulama, mereka membuat rumusan bahawa kematian adalah disebabkan oleh malaikat maut. Pendapat ini disokong oleh Ibn Maskawaeh dalam kitabnya "al-Khauf Min Al-Maut". Malaikat mautlah yang mengambil nyawa manusia. Tanpa malaikat maut, manusia tidak akan mati. Kematian hanya dapat dihalang sekiranya malaikat maut dapat ditangkap.
Pada suatu petang, dengan bantuan seorang ustaz dari Darul Syafi, pusat perubatan alternatif kampung itu, mereka telah berjaya menangkap malaikat maut. Malaikat maut itu sedang terbang untuk mengambil nyawa salah seorang penduduk kampung. Dengan menggunakan getaran nano dan aplikasi gegelung zozo, malaikat maut maut berjaya disedut masuk dalam kelalang vakum lalu disimpan dalam sebuah termo gelas.
Semenjak itu, penduduk kampung hidup bahagia tanpa kematian lagi. Mereka dapat terus beribadat tanpa diganggu gugat oleh ancaman kematian. Dengan ketinggian dan kesepaduan ilmu sains, mereka dapat menghalang kematian. Mereka berbangga dengan ilmu yang mereka miliki.
Namun mereka lupa bahawa ilmu yang ada pada mereka itu tidak dapat menandingi sunnatullah. Mereka mungkin dapat hidup 200 atau 300 tahun. Namun, sunatullah mengatakan bahawa manusia yang bersifat baharu ini akan mengalami penuaan. Manusia yang tua menjadi tidak produktif dan membebankan masyarakat. Pergerakan mereka menjadi perlahan. Mata mereka menjadi rabun. Kulit menjadi kendur. Mereka dilanda berbagai-bagai jenis penyakit. Hospital di kampung mereka dipenuhi oleh para pesakit. Walaupun berlaku kemalangan disebabkan ketuaan dan kerenggehan mereka, mereka tidak mati kerana malaikat maut terpenjara dalam termo gelas mereka.
Mereka mula sedar bahawa kebijakan mereka membawa mala petaka kepada mereka. Sekali lagi mereka bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka membuat keputusan agar melepaskan kembali malaikat maut. Supaya orang-orang yang sakit, kemereh, renggeh dan melanuih diambil nyawa. Malaikat maut pun dilepaskan. Selepas bekerja mencabut nyawa mereka yang sudah sampai dan terlepas ajalnya, kampung itu kembali hidup harmoni.
Diubahsuai dan ditokok-tambah daripada cerita asal oleh YBhg. Dr Mohd Amin bin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
SukaTunjukkan lagi reaksi
Komen

No comments:

Post a Comment